Pelan Tempatan 2040 perlu pandangan semua pihak

Nor Hisham menunjukkan perancangan Kuala Lumpur 2040. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Nor Hisham menunjukkan perancangan Kuala Lumpur 2040. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelan tempatan merupakan satu ‘blueprint’ dan menjadi dokumen penting yang akan dijadikan asas dalam mengawal selia pembangunan di sesebuah kawasan bandar.

Di samping itu, pelan tempatan juga menyediakan beberapa garis panduan perancangan secara terperinci buat pemilik dan pemaju tanah dalam melaksanakan pembangunan di tapak-tapak tertentu.

Menjelang tahun 2020, Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL2020) yang diwartakan sebelum ini akan tamat tempoh dan memerlukan kepada penyediaan satu draf baharu untuk dipamerkan kepada orang awam.

Menerusi PBRKL2020 tersebut, Kuala Lumpur kini berjaya melonjakkan kedudukannya di mata dunia di dalam kedudukan bandar di dunia iaitu di dalam sektor pelancongan, bandar raya yang mudah untuk menjalankan perniagaan, bandar raya kompetitif dan sebagainya.

Kuala Lumpur juga dijangka mampu menjadi sebuah bandar raya bertaraf dunia dalam tempoh 20 tahun akan datang menerusi pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Perkara ini turut diakui oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk NorHisham Ahmad Dahlan yang menyatakan visi bertaraf dunia ini wajar dilihat semula untuk menunjukkan komitmen pihak kerajaan kepada prinsip Sustainable Development Goal (SDG) dan New Urban Agenda (NUA).

Antara visi bandar raya Kuala Lumpur bagi tempoh 2020 hingga 2040 adalah bagi menjadi sebuah ‘Bandar Untuk Semua’ dengan berlandaskan kepada aspirasi warga kota.

Melalui PTKL2040, Nor Hisham berkata, perancangan yang bakal dilaksanakan seharusnya menyeluruh dalam memastikan tiada mana-mana pihak ketinggalan di belakang serta melibatkan pelbagai peringkat lapisan umur dan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Bagi tujuan itu, Nor Hisham berkata, setiap pihak perlu bersama-sama terlibat dalam penyediaan PTKL2040 ini, malah draf PTKL2040 ini juga perlu dipaparkan serta dihebahkan di semua kawasan dan bukan hanya melibatkan lokasi-lokasi tertentu sahaja.

“Sebab kita mahu semua pihak beri pandangan mereka mengenai perancangan Kuala Lumpur di dalam PTKL2040 ini dan ia perlu dipaparkan di semua kawasan termasuk kaki lima.

“Kita nak semua orang terlibat termasuk golongan minoriti, orang kurang upaya (OKU), warga emas, cendekiawan, agensi dan lain-lain dalam memberikan pandangan dan pendapat masing-masing supaya kita boleh buat sebarang penambahbaikan yang mengambil kira keperluan semua golongan masyarakat terhadap draf tersebut sebelum diwartakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, sasaran bagi penyediaan pengangkutan awam yang cekap dan mesra alam di Kuala Lumpur melalui

pelan berkenaan adalah merupakan satu keperluan bagi memenuhi tuntutan pengguna serta penduduk Kuala Lumpur.

Ia juga bagi memastikan bandar raya Kuala Lumpur mencapai status bandar raya rendah karbon menjelang 2030 selaras dengan Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon Kuala Lumpur 2030.

Beliau berkata, isu utama di Kuala Lumpur pada masa kini adalah melibatkan kesesakan lalu lintas dan beberapa langkah perlu diambil dalam usaha bagi memastikan matlamat menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya cekap mobaliti dan mesra alam dapat terlaksana.

Kurangkan penggunaan kereta, parkir

“Untuk perancangan 2040, kita akan kurangkan penggunaan kereta dan parkir di dalam Kuala Lumpur dan menggalakkan masyarakat untuk lebih menggunakan pengangkutan awam.

“Sebagai contoh, kita lihat ada tanah-tanah lapang yang boleh digunakan bagi tujuan pembinaan ‘park and ride’, antaranya di tapak Taman Tema Air Desa Waterpark. Kawasan itu adalah berhampiran dengan stesen Transit Aliran Massa (MRT).

“Jadi selepas pembinaan ‘park and ride’ itu dilaksanakan di sana, pihak yang datang masuk dari arah selatan Kuala Lumpur seperti dari kawasan Cheras, Sungai Besi dan lain-lain boleh parkir kenderaan mereka di sana dan menggunakan MRT atau kemudahan pengangkutan lain untuk masuk ke bandar Kuala Lumpur," kata Nor Hisham.

Beliau berkata, langkah ini bertujuan untuk kurangkan parkir dan kenderaan di dalam bandar raya ini di samping mengatasi masalah kesesakan.

Dalam pada itu, Nor Hisham berkata, di dalam penyediaan PTKL2040 ini juga turut mengambil kira untuk mewujudkan ruang awam yang menarik, bersih dan menjadi tumpuan pelancong dari serata dunia.

Menurutnya, terdapat banyak kerja-kerja menaik taraf kawasan utama di bandar raya ini yang dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti serta identiti Kuala Lumpur yang tersendiri dalam usaha untuk menjadi tarikan pihak luar.

“Sebagai contoh, kita sendiri dah mula laksanakan aktiviti menghidupkan Kuala Lumpur pada waktu malam antaranya program pencahayaan lampu yang cantik di banyak bangunan-bangunan di Kuala Lumpur sendiri antaranya di Bangunan Sultan Abdul Samad dan bangunan-bangunan di sepanjang jalan utama seperti Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail dan lain-lain.

“Bukan setakat itu, kita turut cantikkan kawasan perkuburan dan hiaskan dengan lampu dari jenis diod pemancar cahaya (LED). Maksudnya di sini pelan kita bukan hanya merangkumi orang yang masih hidup malah turut kepada mereka yang telah meninggal dunia,” katanya.

Capai tahap Bandar Pintar

Buat masa ini, Nor Hisham berkata, Kuala Lumpur sememangnya sudah mencapai tahap Bandar Pintar atau ‘Smart City’ dengan beberapa penambahbaikan yang dilaksanakan antaranya melibatkan sistem bas percuma GoKL.

Beliau berkata, melalui perkhidmatan bas GoKL, pengguna dapat melihat sendiri maklumat mengenai lokasi, masa perjalanan dan tempoh

ketibaan bas berkenaan bagi memudahkan perancangan masa mereka.

“Bagi menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya pintar, untuk perancangan sehingga tahun 2040 ini kita akan memperbanyakkan lagi

‘Intergrated Information System’ (ITIS) dan menambah kamera litar tertutup (CCTV) dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1,500,”katanya.

Di samping itu, Nor Hisham berkata draf PTKL2040 ini juga akan memastikan sesebuah pembangunan mempunyai intensiti yang konsisten dengan keperluan infrastruktur dan kemudahan masyarakat serta keperluan guna tanah yang terancang.

Melalui langkah ini, beliau berkata, DBKL dapat mengawal pembangunan dan melaksanakan proses kawalan perancangan dengan lebih teratur dan menyeluruh.

Di mana setiap pemilik atau pemaju hartanah yang ingin membangunkan tanah mereka seharusnya mematuhi apa yang telah di gariskan di dalam PTKL2040 serta perlu mendapat kelulusan perancangan atau Perintah Pembangunan terlebih dahulu sebelum melaksanakan kerja-kerja pembinaan.

“Jadi bila mereka nak bangunkan satu kawasan, mereka boleh rujuk PTKL2040 dan dari situ mereka dapat tahu yang kawasan ini intensitinya berapa, zon apa dan sebagainya,” katanya.

Tambah Nor Hisham, kajian dan penyediaan PTKL2040 akan berjaya dilaksanakan sekiranya mendapat kerjasama daripada semua pihak melibatkan semua agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta seluruh penduduk di Kuala Lumpur bagi mencapai matlamat bandaraya Kuala Lumpur sebagai bandar untuk semua.