Buka kedai demi kucing

Pelbagai jenis makanan kucing dijual di kedai Khairul bagi memastikan keperluan pelanggannya terjaga.
Pelbagai jenis makanan kucing dijual di kedai Khairul bagi memastikan keperluan pelanggannya terjaga.
A
A
A

KOTA BHARU - Biarpun kawasan berhampiran kedainya dinaiki air akibat banjir namun pemilik kedai makanan kucing, Keyo Pet Shop yang terletak di Tunjong tetap meneruskan perniagaannya seperti biasa.

Khairul Anwar Othman, 24, berkata, operasi kedainya berjalan seperti biasa walaupun hujan berterusan sejak semalam bagi memastikan pelanggannya dapat membeli makanan untuk keperluan kucing masing-masing.

"Saya risaukan kucing-kucing mereka (pelanggan) sebab pelanggan yang ada ini merupakan pelanggan tetap, saya pun sudah tahu apa keperluan kucing-kucing mereka.

"Tidak mengapa, saya rela berkorban untuk keperluan kucing-kucing itu. Lagipun air belum masuk dalam kedai. Saya sudah angkat semua barang yang perlu supaya tidak terjejas," katanya kepada Sinar Harian.

Laluan utama jalan Tunjong- Kuala Krai itu mula dinaiki air hari ini selepas hujan berterusan di beberapa daerah di sini sejak semalam.

Jarak kedai Khairul dengan jalan utama hanyalah enam meter sahaja namun dia tetap meneruskan perniagaan seperti biasa sambil berjaga-jaga dengan air yang mungkin melimpah dari jalan seberang yang mempunyai sawah dan lembah.

Artikel Berkaitan: