Pemilik kedai gajet didakwa jual pemain media tidak diperakui SKMM

Ciah Mei Chi (berbaju hitam) ketika hadir ke mahkamah pada Rabu.
Ciah Mei Chi (berbaju hitam) ketika hadir ke mahkamah pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Pemilik sebuah kedai gajet dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan memiliki dan menjual pemain media tanpa wajar tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tahun lalu.

Ciah Mei Chi, 32, selaku orang kena saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Mazni Nawi selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut dua pertuduhan, tertuduh yang berniaga atas nama VS Play Gadget Store di Lukut, Port Dickson ada dalam milikannya dengan tujuan menjual kelengkapan komunikasi yang tidak mempunyai label diperakui sebagaimana yang dikehendaki oleh Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu lapan unit pemain media tanpa wayar jenama Svicloud model M8S PRO W dan satu unit alat berkenaan jenama Svicloud model 3 Pro.

Kesalahan itu dilakukan pada 28 Julai 2022, lebih kurang jam 12.50 tengah hari.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Peraturan 16(1)(d) dan 16(1)(b)Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 16(3) Peraturan- Peraturan yang sama.

Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa SKMM, Mai Zairani Zainal Abidin menawarkan jaminan RM5,000 untuk kedua-dua pertuduhan.

Peguam, Vivek Sukumaran bersetuju dengan jumlah jaminan ditawarkan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan 21 Jun ini sebutan semula kes.