APMM tahan bot, rampas 2,300kg ikan

Bot nelayan tempatan yang didapati melanggar kawasan tangkapan ikan.
Bot nelayan tempatan yang didapati melanggar kawasan tangkapan ikan.
A
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C selepas didapati melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, penahanan tersebut dilakukan menerusi Op Pertiwi di kedudukan 13.2 batu nautika dari Barat Daya Pulau Kendi pada jam 3.35 petang semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati empat lelaki warga Thailand iaitu tekong berusia 44 tahun dan tiga awak-awak berusia antara 24 hingga 49 tahun berada di atas bot berkenaan.

"Turut ditemukan di atas bot berkenaan dua gulung pukat tunda, dua papan tunda, ikan baja seberat 1,800 kilogram (kg) dan ikan campur seberat 500kg.

"Kesemua nelayan yang ditahan dan barangan yang dirampas telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM Pulau Pinang bagi tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Hamizan berkata, kesemua mereka dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari daratan terhampir dan menggunakan seorang kru warga asing tanpa kebenaran bertulis Ketua Pengarah Perikanan.

Orang awam turut diminta melaporkan sebarang kejadian mencurigakan, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146/ 04-2643650.

Artikel Berkaitan: