Kes Ku Nan akan dibicara di Mahkamah Tinggi

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi sebutan semula kes dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3 juta daripada dua individu berhubung permohonan menaikkan ratio plot berkaitan sebuah pembangunan di Jalan Semarak. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kes bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang berdepan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3 juta, berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak Kuala Lumpur, akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Pihak pendakwaan memaklumkan Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad bahawa pemohonan pasukan pembelaan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 417 Kanun Prosedur Jenayah telah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi pada 14 Disember lepas.

“Permohonan peguam telah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi pada 14 Dis 2018. Bagaimanapun, pihak pembelaan belum menerima perintah untuk kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi mana,” kata Timbalan Pendakwa Raya Aida Mastura Mohamed Aman pada sebutan kes itu hari ini.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan,68, mengesahkan perkara itu

Tengku Adnan juga telah menyerahkan semula pasportnya kepada mahkamah. Sebelum ini, Hakim Azman membenarkan pelepasan sementara pasport itu bermula 12 Disember lepas dan memerintahkan tertuduh mengembalikan semula pasportnya kepada mahkamah pada 7 Januari.

Mahkamah membenarkan permohonan Tengku Adnan untuk mendapatkan sementara pasportnya yang diserahkan kepada mahkamah bagi membolehkannya mendapatkan pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital di Melbourne, Australia.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding Sdn Bhd‬ yang dia mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tengku Adnan juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah dan satu pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM1 juta, berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak, di sini pada 2013.

Ahli Parlimen Putrajaya itu didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank miliknya.

Perbuatan itu sebagai upah bagi dirinya meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak.

Tengku Adnan didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Disember 2013 mengikut perenggan 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tengku Adnan juga didakwa terhadap pertuduhan pilihan iaitu di tempat dan tarikh sama, sebagai seorang Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya RM1 juta daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank‬ miliknya, yang diketahui Tan sebagai seorang Pengarah di syarikat Nucleus Properties yang ada perhubungan dengan kerja rasminya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia