Senarai hitam jika pemohon jual semula tanah kerajaan

Wan Rosdy bersama penerima surat hak milik tanah sempena Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Hak Milik Kampung Seri Mahkota di sini hari ini.
Wan Rosdy bersama penerima surat hak milik tanah sempena Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Hak Milik Kampung Seri Mahkota di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Tindakan tegas diambil termasuk menyenarai hitam mana-mana pihak yang didapati memohon tanah kerajaan negeri bagi tujuan menjual semula untuk mengaut keuntungan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan tersebut sudah diambil sebelum ini dan mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil peluang mengaut keuntungan atas tanah kerajaan negeri yang diserahkan.

Menurutnya, kerajaan negeri memandang serius tindakan itu kerana ia boleh membantutkan usaha kerajaan mengagihkan tanah kepada golongan sasaran.

"Kita kena ingat, sumber tanah sangat terhad dan tidak sepatutnya mereka yang mendapat hak milik atas tanah kerajaan negeri yang dipohon menjual tanah itu untuk mendapatkan keuntungan cepat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Kampung Seri Mahkota di sini hari ini.

Seramai 153 penduduk daripada 212 penduduk yang memohon tanah di kampung berkenaan menerima surat hak milik masing-masing membabitkan keluasan tanah keseluruhan 40 hektar.

Wan Rosdy menyampaikan surat hak milik tanah kepada penerima sempena Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Hak Milik Kampung Seri Mahkota di sini, hari ini.
Wan Rosdy menyampaikan surat hak milik tanah kepada penerima sempena Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Hak Milik Kampung Seri Mahkota di sini, hari ini.

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Abdul Rahim Muda, Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah dan Pegawai Daerah Kuantan, Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah.

Artikel Berkaitan:

Wan Rosdy berkata, penduduk Kampung Seri Mahkota yang menerima surat hak milik hari ini dinasihatkan supaya memanfaatkan tanah yang diberikan kerajaan negeri dan tidak menjualnya kepada pihak lain.

"Bukan mudah untuk mendapatkan tanah-tanah ini dan seperti dalam kes di kampung ini (Kampung Seri Mahkota) penduduknya membuat permohonan sejak lebih 30 tahun lalu.

"Alhamdulillah, hari ini penantian mereka berakhir apabila menerima surat hak milik masing-masing untuk tanah seluas 0.4 hektar," katanya.

Justeru katanya, amat malang jika tanah yang sudah mendapat hak milik itu dijual kepada pihak lain.

"Jangan suatu hari nanti, anak-anak cucu kita terpaksa merempat kerana tanah yang ada sudah terlepas kepada orang lain," katanya.

Beliau berkata, pemilik tanah juga diminta membayar cukai tanah kerana hasil daripada kutipan itu akan dikembalikan semula kepada rakyat.

"Kerajaan negeri amat prihatin apabila tanah yang kurang daripada empat hektar tidak terlibat dengan kenaikan cukai tanah sebaliknya kekal RM5 setahun," katanya.