Mara Kedah bantu masyarakat luar bandar

Asmirul menyerahkan sumbangan Back to Schoool kepada asnaf terpilih bersempena Mini Karnival GMK di Pusat Komuniti Desa (PKD) Seberang Kota di sini.
Asmirul menyerahkan sumbangan Back to Schoool kepada asnaf terpilih bersempena Mini Karnival GMK di Pusat Komuniti Desa (PKD) Seberang Kota di sini.
A
A
A

KUALA KEDAH - Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kedah mengambil inisiatif menganjurkan mini Karnival Gerak Mesra Komuniti (GMK) bagi memberi pendedahan berkaitan kemudahan dan bantuan disediakan agensi kerajaan.

Pengarah Mara Kedah, Yahaya Sani berkata, usaha dilaksanakan sejak Ogos 2018 itu dilakukan dalam menangani kekangan masyarakat luar bandar seperti Kuala Kedah berhubung pendedahan berkaitan bantuan dan kemudahan disediakan agensi kerajaan.

Menurutnya, pihaknya telah melaksanakan program turun padang berkenaan di lima lokasi, Baling, Yan, Sik, Kuala Muda dan Pendang dalam tempoh berkenaan sehingga kini.

"Melalui aktiviti diadakan kami berharap dapat membawa seluruh fungsi agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan khasnya Mara kepada masyarakat luar bandar.

"Kita berharap dapat menyantuni dan memudahkan komuniti di sekitar Kuala Kedah bagi mendapatkan perkhidmatan dan maklumat berkaitan kemudahan," katanya pada Program Mini Karnival GMK di Pusat Komuniti Desa (PKD) Seberang Kota di sini semalam.

Terdahulu, program berkenaan dirasmikan Exco Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Usahawan, Asmirul Anuar Aris.

Katanya, aktiviti diadakan diharapkan mengekalkan hubungan yang erat antara agensi kerajaan lain yang terlibat bersama masyarakat luar bandar terutama penduduk Kuala Kedah.

"Tidak ketinggalan kita berharap aktiviti berkenaan mewujudkan kerjasama dan memberi bantuan secara langsung kepada golongan sasar memerlukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, program berkenaan turut diharapkan membuka ruang dan peluang kepada masyarakat untuk lebih dekat kepada Mara seterusnya menerima kemudahan disediakan.

Terdahulu, pelbagai aktiviti diadakan termasuklah gotong-royong, pameran dan jualan produk usahawan, kaunter khidmat nasihat, pemeriksaan kesihatan, gunting rambut, kelas memasak dan 'walkabout' Exco.