'Harga petrol naik satu sen seminggu belum muktamad'

Saifuddin mencuba beberapa produk tempatan pada Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia bertempat di Stesen Minyak Petronas Jalan Kolam Air Lama di sini hari ini.
Saifuddin mencuba beberapa produk tempatan pada Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia bertempat di Stesen Minyak Petronas Jalan Kolam Air Lama di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kadar apungan harga petrol secara berperingkat sebanyak satu sen seminggu sebaik sahaja Program Subsidi Petrol (PSP) dilaksanakan belum dimuktamadkan lagi sepenuhnya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara tersebut masih dalam peringkat perbincangan.

"Kita masih dalam persiapan peringkat perbincangan termasuk membincangkan harga petrol dan pelbagai perkara lain.

"Semalam timbalan saya menjawab soalan tambahan, oleh itu beliau menyebut mengenai cadangan kenaikan itu dan esok dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, saya akan memberi maklum balas ini dari semasa ke semasa apabila dipersetujui oleh jemaah menteri, barulah kita akan membuat pengumuman," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia bertempat di Stesen Minyak Petronas Jalan Kolam Air Lama di sini hari ini.

Menurutnya, penentuan asas harga petrol itu juga harus mengambil kira beberapa mekanisme antaranya kadar pertukaran mata wang asing dan harga minyak mentah pada masa itu.

"Mengenai subsidi bersasar pula ia kekal seperti yang diumumkan pada Oktober lalu.

Saya ingin sebutkan balik terhadap perkara seperti yang dilaporkan oleh media, ia belum dimuktamadkan lagi.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, media tempatan melaporkan kerajaan akan mengapungkan harga petrol secara berperingkat sebanyak satu sen seminggu sebaik sahaja PSP dilaksanakan Januari tahun hadapan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Chong Chieng Jen berkata, kementerian memutuskan menaikkan harga bahan api itu sehingga harga petrol RON95 mencapai harga pasaran.