Tiada penyelewengan subsidi petrol libatkan nelayan - LKIM

Muhammad Faiz (kanan) berbual dengan nelayan pada penyampaian bantuan peralatan selepas Program Rahmah Mesra Madani bersama Nelayan Kuala Selangor di Hab Nelayan Sungai Sembilang di sini pada Jumaat.
Muhammad Faiz (kanan) berbual dengan nelayan pada penyampaian bantuan peralatan selepas Program Rahmah Mesra Madani bersama Nelayan Kuala Selangor di Hab Nelayan Sungai Sembilang di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tidak mengesan sebarang aktiviti penyelewengan bantuan minyak diesel dan petrol bersubsidi dilakukan nelayan di seluruh negara.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan ketat bagi memastikan semua nelayan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Jelas beliau, proses pemutihan dan saringan turut dilakukan terhadap 35,000 penerima bantuan yang berdaftar dengan persatuan nelayan supaya mereka tidak terlibat dalam penjualan subsidi berkenaan.

"Pegawai LKIM yang ditempatkan di semua jeti nelayan berdaftar akan dipantau daripada segala aspek termasuk melibatkan subsidi minyak berjumlah RM1.65 seliter," katanya ketika ditemui selepas Program Rahmah Mesra Madani bersama Nelayan Kuala Selangor di Hab Nelayan Sungai Sembilang di sini pada Jumaat.

Muhammad Faiz berkata, nelayan yang gagal mematuhi SOP boleh dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang ditetapkan.

Kata beliau, LKIM mempunyai peraturan termasuk Undang-Undang Kecil yang antara lain tindakan boleh dikenakan termasuk menggugurkan nama ahli berdaftar.

"Saya bagaimanapun yakin nelayan akan terus mematuhinya kerana ia sumber pendapatan utama mereka mencari nafkah keluarga," jelasnya.