Kitar semula pek minuman

Projek CAREton 2019 sasar 35 juta pek minuman akan terlibat

A
A
A
Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd dengan kerjasama Nestle (Malaysia) Berhad menyasarkan untuk mengitar semula 35 juta pek minuman bersempena Projek CAREton 2019 yang menyaksikan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai benefisiari terbaharu.

Kempen CAREton bermatlamat mengumpul dan mengitar semula pek minuman terpakai bagi menghasilkan papan panel dan atap genting, poli aluminium.

Melalui kolaborasi bersama MBPJ itu, pek minuman yang terkumpul akan dikitar semula untuk menghasilkan 1,000 papan panel poli aluminium yang akan digunakan sebagai struktur luar dan dalam Eco Recycling Plaza serta kawasan rekreasi dan taman komuniti yang terletak di Petaling Jaya.

Terdahulu, Projek CAREton yang mula beroperasi sejak 2012 bersama EPIC Homes, sebuah NGO yang membantu memudahkan pembangunan perumahan berasaskan komuniti setempat telah berjaya membekalkan atap genting dan papan panel lebih daripada 150 buah rumah serta infrastruktur untuk komuniti setempat.

Menurut Pengarah Alam Sekitar Tetra Pak Malaysia, Singapura dan Filipina; Terrynz Tan, inisiatif yang digerakkan ini mendidik dan menggalakkan warga Malaysia untuk memainkan peranan mengitar semula pek minuman yang amat mudah dilakukan.
Artikel Berkaitan:


"Anda hanya perlu melakukan 3F (flip, flap dan flat) untuk meleperkan pek minuman tersebut. Akhir sekali bungkus dan letakkannya di mana-mana lokasi pengumpulan yang disediakan,” katanya pada majlis pelancarannya di Petaling Jaya, semalam.

Tambahnya, sejak tujuh tahun lalu, Projek CAREton telah berjaya mengumpul 60 juta pek minuman untuk dikitar semula, jumlah yang cukup untuk membina lebih 150 buah rumah dan projek komuniti yang memberi kesan positif kepada ramai individu.

Pengguna yang ingin menyerahkan pek minuman terpakai mereka boleh berbuat demikian di lokasi pengumpulan CAREton yang terdapat sekitar 500 koleksi di seluruh Malaysia.