RVM mesin kitar semula tawar ganjaran tunai

Tukar barang kitar semula dengan tunai di mesin RVM yang disediakan di Menara MPAJ.
Tukar barang kitar semula dengan tunai di mesin RVM yang disediakan di Menara MPAJ.
A
A
A

AMPANG - Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyediakan Reverse Vending Machine (RVM) bagi membolehkan pengguna menebus tunai daripada aktiviti kitar semula.

MPAJ dalam satu kenyataan berkata, mesin pertukaran barangan kitar semula itu diletakkan di ruang legar aras 1, Menara MPAJ sebagai galakan amalan kitar semula ke arah menjadikan Ampang Jaya bandar berdaya huni.

Menurut kenyataan itu, mesin tersebut berkonsepkan kitar semula, tebus dan ganjaran yang membolehkan bayaran dipindahkan terus ke bank pengguna.

"Pengguna akan menerima kod QR bagi setiap barangan kitar semula seperti botol mineral plastik, tin aluminium dan kotak minuman yang dimasukkan ke dalam mesin berkenaan.

"Sehingga kini, sebanyak 4,378 botol plastik, tin aluminium dan kotak minuman telah dikumpulkan membabitkan bayaran sebanyak RM178 sejak 22 Mac lalu," katanya pada Selasa.

Ujarnya, penempatan RVM yang pertama di kawasan MPAJ itu merupakan hasil peruntukan daripada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN).

Katanya, orang ramai khususnya warga Ampang Jaya dialu-alukan untuk kitar semula barangan dan menebus ganjaran melalui RVM ini.

"Pengguna perlu mengimbas kod bar yang tertera pada barangan kitar semula (botol plastik, tin minuman, kotak minuman tetra pak).

"Kemudian masukkan barangan kitar semula ke dalam mesin RVM selepas disahkan oleh sistem mesin (air di dalam tin, botol plastik dan kotak minuman perlu dikosongkan terlebih dahulu).

"Tebus ganjaran menggunakan aplikasi bank mengikut kadar harga semasa barangan. Contohnya lima sen bagi setiap botol plastik dan tin aluminium," katanya.

Tambah kenyataan itu, ganjaran bagi setiap barangan kitar semula akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank pengguna selepas disahkan oleh mesin RVM.