X

Kindly register in order to view this article
!

Kebenaran tanam ketum bukan untuk orang awam

Gambar hiasan
A
A

ALOR SETAR - Tiada cadangan buat masa ini membenarkan orang awam mengusahakan tanaman ketum meskipun untuk tujuan penyelidikan melalui pindaan Akta Racun 1952.

Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan negeri, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, hanya pegawai awam ataupun pegawai daripada badan berkanun berkaitan dibenarkan menanam tumbuhan itu bagi tujuan berkenaan.

Menurutnya, bagaimanapun, penanaman ketum untuk penyelidikan, pendidikan, eksperimen mahupun perubatan itu perlu mendapat kebenaran daripada Menteri Kesihatan.

"Saya telah diberikan taklimat berkaitan pindaan Akta Racun 1952 untuk bacaan kali pertama di Parlimen oleh Timbalan Menteri Kesihatan kelmarin.

"Melalui bacaan pada 25 November lepas, saya menyambut baik akta yang baharu dipinda memandangkan kesalahan akan bermula dari menanam ketum yang mana ia tidak salah sebelum ini," katanya.

Dr Ismail (tengah) menyembur paip air bomba kepada peserta pada Majlis Khatan Perdana Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah di Ibu Pejabat JPJ Kedah di sini.
Dr Ismail (tengah) menyembur paip air bomba kepada peserta pada Majlis Khatan Perdana Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah di Ibu Pejabat JPJ Kedah di sini.

Beliau berkata sedemikian pada Majlis Khatan Perdana Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah di Ibu Pejabat JPJ Kedah, Jalan Suka Menanti di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis pastikan ketum ditanam untuk perubatan tak mudaratkan negara

Turut hadir, Pengarah JPJ Kedah, Isma Suhaimi Shariff.

Menurutnya, buat masa ini, belum ada kemungkinan kebenaran menanam ketum diberikan untuk orang awam berdasarkan pindaan Akta Racun 1952.

"Ada cadangan juga untuk dibuka kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ataupun syarikat swasta tertentu.

"Jikalau pindaan dibuat untuk diberikan kebenaran kepada mereka, maka syarat sama perlu diikuti seperti tidak diakses orang ramai.

"Jikalau dia bagi orang awam akses, maka dia boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman lebih serius dan denda lebih berat," katanya.

Menurutnya, selepas ini, pertemuan akan diadakan dengan masyarakat sebagaimana sesi dialog antara Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah dengan pengusaha ketum di Jerlun baru-baru ini bagi menerangkan Akta Racun 1952 yang akan dipinda.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus