Polis pastikan ketum ditanam untuk perubatan tak mudaratkan negara

Mohd Khalil (dua dari kanan) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak hari ini. - Foto: Bernama
Mohd Khalil (dua dari kanan) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan cadangan penanaman ketum untuk tujuan penyelidikan dan perubatan tidak memberikan kesan negatif kepada negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya akan bertanggungjawab memastikan perkara itu tidak disalah guna mana-mana pihak.

"Selain aspek kawalan sekuriti seperti pembinaan tembok dan dinding, kita juga mementingkan soal pengurusan risiko oleh pihak terlibat untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang," katanya pada sidang media kejayaan JSJN di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan penanaman tumbuhan psikoaktif seperti ketum dibenarkan hanya untuk tujuan penyelidikan, namun memerlukan surat kebenaran yang dikeluarkan Menteri Kesihatan.

Perkara itu terkandung dalam Rang Undang-undang Racun (Pindaan) 2019 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat Isnin lepas oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Pindaan itu antara lain bagi mewujudkan kawalan ke atas tumbuhan psikoaktif yang merangkumi pelbagai proses seperti penanaman, pengimportan, pengeksportan, pembekalan dan pemilikan bahan terbabit.

Berdasarkan RUU yang butirannya diberikan Kementerian Kesihatan, Menteri Kesihatan diperuntukkan kuasa untuk membenarkan mana-mana pegawai awam atau pegawai badan berkanun menanam tumbuhan berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: