Sukan wadah erat perpaduan kaum


Cheng Hoe berjaya membentuk persefahaman baik dalam kalangan para pemainnya yang terdiri pelbagai latar belakang.
Cheng Hoe berjaya membentuk persefahaman baik dalam kalangan para pemainnya yang terdiri pelbagai latar belakang.
A
A
A

BIDANG sukan masih mampu menjadi landasan terbaik dalam memupuk dan memperkasa perpaduan antara kaum di sebalik menjadi medan membentuk atlet di negara ini.

Bagi Timbalan Dekan Fakulti Sains Sukan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Raja Mohamed Firhad, beliau secara peribadi berpandangan sukan mampu menyatukan masyarakat majmuk di negara ini.

“Saya lihat sukan sejak dulu sehingga hari ini tidak didominasi oleh sesuatu kaum sahaja. Semua kaum ada dalam sesebuah pasukan sebagai pemain, jurulatih mahupun pengurus.

“Mereka bersatu hati untuk mengerakkan sukan negara tanpa mengira kaum dan agama. Contohnya, dalam pasukan bola sepak negara kita. Jurulatihnya berbangsa Cina (Tan Cheng Hoe) dan pemain-pemain kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu,” ujarnya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Beliau memberitahu, sukan bukan sahaja dapat meningkatkan perpaduan, malah kegiatan berterusan dalam sukan juga akan dapat meningkatkan produktiviti, tahap kesihatan dan kecergasan serta kualiti kehidupan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurutnya lagi, penyatuan semua kaum juga dapat dilihat ketika mereka memberi sokongan kepada pasukan negara dalam sesuatu pertandingan.

“Mereka datang daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, Khadazan dan sebagainya untuk memberi sokongan. Ia secara tidak langsung akan meningkatkan lagi penglibatan pelbagai kaum dalam aktiviti sukan,” ujarnya.

Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Nur Ikhwan Mohamad pula berkata, penyatuan antara kaum harus bermula dari bawah dan secara berterusan bagi memupuk satu hati dalam masyarakat di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Bagi menyatukan kaum dalam sukan, kita perlu bermula dengan sukan rakyat, perbanyakkan kelab-kelab sukan dan mengaktifkan program sukan. Perkara ini perlu dilakukan dengan melibatkan semua masyarakat tanpa mengira kaum.

“Selain itu, program yang dijalankan juga hendaklah berkala bukan hanya dijalankan pada bulan-bulan tertentu. Jadi, penyatuan antara kaum dapat dieratkan lagi dengan penglibatan aktiviti seperti itu,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihak berkepentingan juga harus memainkan peranan masing-masing dalam memacu penyatuan kaum menerusi pelbagai aktiviti sukan.

“Penyatuan sukan antara kaum perlu dimulakan di peringkat awal anak-anak bagi menyemai perasaan bersatu hati walaupun berbeza kaum, budaya dan agama. Oleh itu, pihak kerajaan dan agensi terlibat perlu memainkan peranan untuk menyediakan kemudahan bersukan kepada masyarakat,” jelasnya.

Turut berkongsi pandangan sama ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan Rekreasi UiTM, Mohd Sadek Mustaffa yang lebih memberi penekanan terhadap aktiviti sukan di peringkat sekolah.

“Aktiviti sukan di peringkat sekolah haruslah melibatkan semua pelajar tanpa mengira kaum. Aktiviti sukan yang dijalankan itu juga haruslah mempunyai keseimbangan dengan akademik.

“Kita ambil contoh Australia. Ada pihak sekolah di negara itu yang menggunakan padang awam untuk menjalankan aktiviti sukan. Jadi para pelajar di sekolah terbabit dapat menjalinkan hubungan dengan pihak komuniti luar,” jelasnya.