Antara Khazanah dan Norway

A
A
A

DALAM tempoh sebulan, Reuters telah melaporkan berita mengenai dua dana kekayaan negara yang berbeza. Pada 25 Oktober lalu, Reuters menerbitkan laporan khas bertajuk ‘Norway wealth fund grows to record 10 trilion crowns’ manakala pada 25 November mereka menerbitkan laporan dana kekayaan negara kita: ‘Malaysia's Khazanah sells stakes worth $1.4 bilion, including in Alibaba’.

Laporan pertama berkenaan Norway mendapat perhatian yang cukup meluas di peringkat antarabangsa. Dana kekayaan negara (sovereign wealth fund) Norway telah memecahkan rekod nilai sebanyak AS$1.09 trilion (RM4.55 trilion).

Pencapaian dana yang kebiasaannya dikenali sebagai oil fund di Norway itu cukup luar biasa dan wajib mendapat perhatian pemimpin negara pengeluar minyak – termasuklah negara kita. Lebih khusus lagi, perkembangan itu perlu diberi perhatian oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ibarat kisah dongeng, Norway menemui telaga minyak mereka yang pertama di Lautan Utara pada tahun 1969 tetapi hanya mewujudkan dana kekayaan negara pada tahun 1996, lewat beberapa tahun berbanding kita yang menubuhkan Khazanah Nasional pada tahun 1993.

Namun begitu, dalam tempoh tidak sampai 30 tahun, dana kekayaan Norway itu telah berjaya menjana nilai daripada RM0 kepada RM4.55 trilion! Malah Reuters turut berseloroh dalam laporan mereka bahawa secara purata dana itu mampu untuk memberikan sebanyak AS$200,000 (RM834,000) kepada setiap warganegara Norway.

Hari ini, saiz dana kekayaan Norway berjumlah hampir tiga kali ganda lebih besar berbanding kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka. Kebijaksanaan Norway menjana pulangan daripada pelaburan dalam pasaran kewangan global perlu dicemburui negara pengeluar minyak yang lain.

Diuruskan oleh para teknokrat yang cekap daripada unit bank negara Norway, dana kekayaan itu melaburkan hampir 70 peratus daripada dana mereka dalam ekuiti global dan 28 peratus dalam portfolio aset berpendapatan tetap. Mereka turut menikmati pulangan lumayan daripada saham Microsoft, Nestle dan Facebook.Perbandingan

Bagaimana pula jika dibandingkan pencapaian dana Norway itu dengan dana kekayaan negara kita, Khazanah Nasional pada hari ini? Tentulah kita boleh memberi alasan bahawa berbeza dengan Norway, pulangan hasil petroleum kita diambil oleh kerajaan secara terus daripada Petronas dan tidak disalurkan kepada Khazanah. Akan tetapi, kita masih boleh membuat perbandingan dari segi trajektori pelaburan, pembelian dan penjualan (pelupusan) aset antara kedua-dua dana kekayaan negara itu.

Artikel Berkaitan:

Jika pada 25 Oktober Reuters melaporkan kejayaan dana kekayaan negara Norway mencapai nilai AS$1.09 trilion, tepat sebulan kemudian iaitu pada 25 November pula Reuters melaporkan berkenaan dana kekayaan negara kita.

Dalam laporan itu, Khazanah diberitakan menjual pegangan sebanyak AS$1.36 bilion (RM5.66 bilion) dalam tujuh firma antarabangsa termasuklah dalam syarikat gergasi China, Alibaba Group Holding Ltd. Selain menjual RM2.25 bilion pegangan dalam Alibaba, Khazanah turut menjual pegangan mereka dalam BDO Unibank Inc (Filipina), Farfetch (London), Infosys Ltd (India) dan syarikat PT Charoen Pokphand Indonesia Tbk.

Turut dilaporkan Reuters ialah jumlah kerugian Khazanah sebanyak RM6.3 bilion pada tahun lepas dan aset Khazanah yang jatuh 13 peratus kepada RM136 bilion.

Laporan Reuters itu menunjukkan pola penjualan aset Khazanah masih berterusan di bawah Pakatan Harapan yang sebelum ini menjual pegangan dalam IHH Berhad kepada Jepun (RM8.41 bilion), saham CIMB (RM364 juta), M1 Singapura (RM1.65 bilion), Hotel Royale Chulan (RM197 juta), saham Tenaga Nasional (RM1.05 bilion), aset digital Axiata (RM580 juta), hartanah DUO Singapura (RM4.73 bilion), saham dalam syarikat elektrik Arab Saudi (RM289 juta), saham CIMB (RM2 bilion), Pusat Perubatan Prince Court (RM1.02 bilion), lebuh raya bertol di Jakarta (RM2.1 bilion) dan Hotel Andaz Singapura (RM1.44 bilion).

Reuters turut melaporkan bahawa Khazanah merancang untuk meningkatkan pelaburan luar negara sebanyak empat kali ganda untuk menjadikannya sebanyak 60 peratus ke 70 peratus daripada jumlah portfolio dalam dekad yang mendatang. Dalam aspek ini, eloklah kiranya Khazanah belajar bagaimana Norway dalam menggandakan nilainya.