Mohon lanjut waktu operasi UTC Ampangan

Mohamad Rafie bersama sebahagian penduduk yang hadir, semalam.
Mohamad Rafie bersama sebahagian penduduk yang hadir, semalam.
A
A
A

SEREMBAN - Adun Ampangan, Dr Mohamad Rafie Abd Malek meminta kerajaan mempertimbangkan supaya melanjutkan waktu operasi UTC Ampangan sehingga jam 10 malam.

Katanya, terdapat keperluan melanjutkan tempoh berkenaan bagi memberi keselesaan serta memudahkan orang ramai untuk berurusan di UTC tanpa perlu tergesa-gesa.

Menurutnya, beliau telah bertemu dengan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin hamzah untuk membincangkan perkara tersebut kerana UTC Ampangan mempunyai ramai pelanggan sehingga waktu malam.

"Saya telah bertemu dengan pihak kementerian berkaitan untuk meminta pengecualian waktu operasi UTC Ampangan agar ia dilanjutkan sehingga 10 malam berbanding sekarang ini sampai 7 malam sahaja.

"UTC Ampangan mempunyai ramai orang malah saya sendiri melihat pada sebelah malam ramai yang masih berurusan di UTC Ampangan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Minum Petang bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ahli Majlis dan Pengerusi Surau Dun Ampangan di Dewan Gedong Lalang 50, di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, pihak kementerian setakat ini belum memberi sebarang keputusan, namun mereka menunjukkan tanda positif terhadap permintaan tersebut.

Dalam pada itu, Mohamad Rafie berkata, kerajaan persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM40 juta untuk melaksanakan tiga projek besar dalam Dun Ampangan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, antara projek tersebut adalah menaiktaraf Pasar Basah Ampangan kepada yang lebih moden, besar dan selesa.

"Pasar baharu tiga tingkat itu akan mempunyai dua tingkat lot parkir bagi menempatkan 302 parkir untuk kegunaan orang ramai termasuk mereka yang mahu ke UTC.

"Projek akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan kita jangkakan dalam tempoh dua tahun pasar baharu ini boleh digunakan," katanya.

Tambahnya, sebuah jejantas menghubungkan Medan Selera Ampangan dengan UTC Ampangan juga akan dibina selain sebuah dewan untuk kegunaan orang ramai.