Ada pihak perguna lelaki OKU sebar berita palsu Sultan Johor mangkat

Huzir
Huzir
A
A
A

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan seorang pekerja kilang bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kemangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang tular di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan di Pekan, Pahang, Isnin lalu.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati lelaki itu adalah orang kurang upaya (OKU) dalam kategori masalah pembelajaran.

“Kita percaya ada pihak ketiga yang telah menggunakan identitinya, lelaki OKU ini tidak mempunyai keupayaan untuk mengendali komputer, malah dia mempunyai telefon biasa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini tadi.

Huzir yakin pihaknya dapat mengesan pihak ketiga yang menyebarkan dakwaan berkenaan dalam masa terdekat.

“Kita telah ‘narrow down’ siapa pihak ketiga yang menggunakan identiti lelaki OKU ini. OKU berkenaan juga dibebaskan dengan jaminan polis setelah direman empat hari.

"Kes berkenaan disiasat Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Terdahulu, Pemangku Raja Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim telah memuat naik gambar baginda bersama Sultan Johor di laman Facebook rasminya, HRH Crown of Johor sekaligus menafikan spekulasi itu.

Artikel Berkaitan:

Tunku Ismail dilihat merakamkan gambar sambil tersenyum manakala Sultan Ibrahim pula sedang memandang telefon bimbitnya.