Hidup atau mati, Chin Peng tetap pengganas: Ismail Sabri

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Membawa abu Chin Peng ke Malaysia tidak akan mengubah sejarah bahawa lelaki tersebut adalah pengganas, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, beliau kesal dengan tindakan pihak tertentu membawa pulang abu bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaysia (PKM) itu.

“Walaupun hanya abu mayat tapi kita perlu jelas bahawa mengikut sejarah Chin Peng adalah seorang pengganas dalam negara kita.

“Jadi membenarkan abu mayatnya dibawa balik walaupun dia sudah meninggal dunia tidak menukar sejarah bahawa beliau adalah pengganas.

“Banyak insiden yang berlaku ketika komunis mengganas dan bertempur dengan tentera, ribuan cedera dan meninggal,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Tegas beliau, membawa balik abu mayat Chin Peng sebenarnya tidak menghormati pengorbanan perajurit negara dan keluarga mereka.

“Halangan untuk membawa balik abu mayat ini telah diputuskan Kabinet ketika pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kita tidak benarkan. Saya difahamkan larangan itu masih kekal sehingga hari ini.

“Saya terbaca kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri bahawa kerajaan masih kekal dengan dasar lama. Saya tidak tahu apakah tindakan kementerian selepas ini.

Artikel Berkaitan:

“Rakyat kini mempersoalkan mereka bawa senyap-senyap, bermakna melanggar perintah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Perak

Semalam, tular laporan mendakwa abu mayat mendiang bekas pemimpin PKM itu dibawa pulang ke Perak pada 16 September lalu selepas enam tahun kematiannya.

Penyelaras kumpulan yang menguruskan abu mayat berkenaan, Chan Kan Fook, 81, berkata, mereka membawa pulang abu mayat Chin Peng dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu.

Menurutnya, mereka menganjurkan majlis peringatan yang dihadiri lebih 150 orang pada hari yang sama abu mayat itu tiba di Ipoh, Perak.