Hajat nak beli tanah...

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang pesara kerugian RM26,500 selepas didakwa ditipu dua lelaki dalam urusan pembelian tanah seluas enam hektar di Kampung Sepat di sini awal Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pesara berusia 72 tahun dari daerah ini berurusan dengan seorang lelaki yang bertindak sebagai orang tengah.

Menurutnya, mangsa diperkenalkan dengan seorang ejen hartanah untuk urusan selanjutnya dan bersetuju untuk membeli tanah tersebut yang ditawarkan pada harga RM50,000.

"Bermula awal Julai lalu, pesara berkenaan mula membuat bayaran tunai secara berperingkat kepada dua individu berkenaan bagi mendapatkan tanah tersebut membabitkan jumlah keseluruhan RM26,500.

"Mengikut perjanjian, baki bayaran perlu dijelaskan mangsa selepas dokumen hak milik diserahkan dalam tempoh 15 hari seperti yang dijanjikan," katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas separuh bayaran itu dijelaskan, mangsa tidak tidak menerima sebarang perkembangan berhubung status tanah yang dibelinya itu dan dokumen hak milik tanah yang dijanjikan juga gagal diserahkan dalam tempoh dijanjikan.

"Mangsa tampil membuat laporan polis semalam kerana bimbang ditipu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Susulan laporan dibuat mangsa, pihak kami kini sedang mengesan dua lelaki berkenaan bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan: