Bela nasib anak tidak sah taraf

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

LUMPRAH manusia di dunia ini sememangnya sentiasa mengimpikan kehidupan yang indah dan selesa.

Begitu juga dengan anak-anak, ada nasibnya terbela saat melihat dunia, ada nasibnya mahu mendapat pembelaan dan ada juga malang nasibnya bukan sahaja tidak terbela malah dibuang tanpa rasa berdosa.

Dalam ramai anak-anak yang dilahirkan ke dunia, ada yang kurang bernasib baik terpaksa bergelar anak tidak sah taraf.

Buat ibu bapa angkat yang mengambil anak sah taraf mungkin tidak berdepan masalah namun ada ibu bapa yang mengambil anak yang tidak sah taraf itu kadangkala terpaksa berdepan cabaran untuk menjaga anak berkenaan.

Walaupun negara telah ke arah teknologi moden dengan projek kereta terbang, namun persepsi masyarakat tentang anak tidak sah taraf masih dangkal dan sukar untuk diterima masyarakat.

Ada yang jijik bila tahu seorang anak itu golongan yang bukan sah taraf, tidak kurang juga yang lebih suka mengata daripada mendoakan kebaikan bayi yang tidak berdosa itu.

Bila ada anggota masyarakat yang tidak suka dengan status pada anak itu, maka dari kecil lagi mereka sebenarnya telah diajar tentang ‘pilih kasih,’ tentang jurang status sedangkan mereka yang dilahirkan itu adalah anak-anak yang suci. Mereka tidak pernah minta dilahirkan dengan nasib sebegitu rupa.

Jadi tidak hairanlah ada ibu kandung yang tidak sanggup menjaga anak sendiri kerana tidak kuat berdepan dengan pemikiran segelintir masyarakat yang masih cetek hinggakan mereka tidak bersedia untuk memberi penerangan status anak lalu pilihan yang dirasakan tepat adalah memberikan anak itu kepada keluarga angkat.

Artikel Berkaitan:

Kebenaran

Bagi keluarga angkat, seandainya tidak bersedia untuk memberitahu kebenaran status anak, janganlah ‘gatal’ untuk menerima amanah menjaga anak berkenaan kerana menyembunyikan kebenaran itu pahit untuk ditelan.

Sekiranya kejujuran dan kebenaran telah dimulakan dari awal mengenai status anak sama ada mereka anak angkat sah atau tidak sah taraf, maka tiada lagi kebimbangan dan kegusaran yang tertanam di hati.

Paling penting bin atau binti anak bukanlah menjadi isu utama dan rasa malu tidak akan terpalit di jiwa.

Jika kesediaan itu mampu dipikul ibu bapa angkat, sudah pasti si anak sama ada berbin atau berbinti nama Abdullah mahupun 99 ALLAH tidak akan menjadi perdebatan.

Apa yang lebih utama penjaga perlu tahu hukum ALLAH dan hak anak itu selain usaha mendidik anak-anak berkenaan sebaiknya.

Jangan ada terselit dalam hati rasa malu mempunyai anak-anak yang berstatus itu. Pekakkan telinga dengan umpatan masyarakat yang hanya tahu menilai.

Wahai insan bergelar ibu bapa angkat, belajarlah untuk menerima kenyataan bahawa anak-anak itu pinjaman daripada-Nya dan kita harus mengambil tanggungjawab menjaga amanah yang diberikan ALLAH SWT.

Untuk masyarakat, kikislah rasa pilih kasih itu dan layanlah mereka seperti mana anak-anak yang lain kerana mereka juga berhak untuk mendapat layanan istimewa di dunia ini.

Buka mindamu masyarakat. Di saat kaki melangkah ke zaman Wawasan 2020 seperti yang selalu dinyanyikan, jadilah masyarakat yang bertamadun bukan kerana memikirkan status anak orang tapi memikirkan bagaimana anak-anak tidak berdosa itu boleh kita selamatkan!

Tidak salah kita hendak membantu dalam membela nasib golongan anak-anak yang tidak berdosa itu kerana ganjarannya pasti ada.

* Nor Farhana Yaacob ialah wartawan Sinar Harian edisi Melaka/Negeri Sembilan