Mahkamah Agung Pakistan putuskan penahanan Imran Khan tidak sah

IMRAN KHAN
IMRAN KHAN
A
A
A

NEW DELHI - Mahkamah Agung Pakistan pada Khamis memutuskan penahanan bekas perdana menteri Imran Khan sebagai tidak sah dan memerintah beliau segera dibebaskan.

Beliau ditahan oleh pasukan separa tentera di premis Mahkamah Tinggi Islamabad pada Selasa.

"Cara beliau ditahan tidak boleh diterima," kata hakim Athar Minallah, menurut laporan media tempatan.

Peguam bekas perdana menteri itu berkata, penahanan Imran satu penganiayaan dan beliau turut menerima layanan yang buruk semasa dalam tahanan.

Seorang penyokong bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan mengawal kediaman Khan di Lahore pada Jumaat. - Foto AFP
Seorang penyokong bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan mengawal kediaman Khan di Lahore pada Jumaat. - Foto AFP

Penahanannya oleh Biro Akauntabiliti Kebangsaan (NAB) atas dakwaan kes rasuah telah mencetuskan protes dan penyokongnya menyifatkan tindakan itu sebagai sebahagian dendam politik.

Sejak itu, kira-kira 2,500 orang termasuk pemimpin kanan Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) telah ditahan dalam usaha kerajaan untuk menghentikan protes dengan bantuan tentera.

Imran menggesa penyokongnya bertenang dan bertindak secara aman.

"Kami hanya mahukan pilihan raya di negara ini," katanya di mahkamah. - Bernama