UMT, orang ramai sumbang koloni kelulut kepada pusat tahfiz

Gambar hiasan - Foto internet
Gambar hiasan - Foto internet
A
A
A

KUALA NERUS - Prihatin dengan nasib 20 anak yatim dan asnaf, Kumpulan Penyelidik Lebah dan Kelulut (SIG) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tampil menyumbang 28 buah koloni kelulut kepada Pusat Pengajian Tahfiz Ribat as-Sofa, di sini.

Ketuanya, Prof Madya Shamsul Bahri Abd Razak berkata, ia merupakan projek berkonsepkan pembiayaan daripada orang ramai pertama yang dijalankan kumpulannya bertujuan mengumpul koloni kelulut untuk diinfaq kepada pusat tahfiz tersebut.

Beliau berkata, SIG mengambil masa beberapa bulan untuk mengumpul koloni berkenaan yang dijalankan melalui kempen di laman sosial 15 ahlinya.

"Koloni kelulut ini ada yang disumbangkan oleh individu perseorangan dan juga beberapa syarikat yang terlibat dalam bidang ternakan kelulut.

"Tujuan kita memberi sumbangan berupa koloni ini ialah supaya mereka dapat menjana pendapatan sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan masyarakat atau pihak tertentu," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan koloni kelulut oleh SIG kepada pengurusan Pusat Pengajian Ribat as- Sofa, di Kampung Tuan Mandak, di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut Shamsul Bahri yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan UMT berkata, bagi memastikan kejayaan program, pihaknya akan menjalankan proses pemindahan ilmu kepada pelajar tahfiz tersebut dan juga memantau secara berterusan sehingga mereka benar-benar mahir dengan tugas penjagaan.

"SIG juga merancang untuk memulakan projek tanaman fertigasi untuk mereka di kawasan tanah kosong yang agak luas di belakang tahfiz, tetapi tidak mempunyai pembiayaian yang mencukupi.

"Oleh itu kami amat mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang berminat untuk menderma bagi tujuan penjanaan pendapatan sampingan untuk 30 anak-anak di tahfiz ini," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: