Persatuan Bekas Pegawai SPRM, GGP rai asnaf, anak yatim

Zakaria (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan pada majlis Semarak Kasih Ramadan yang diadakan di Surau Al Muhajirin, Bukit Mahkota pada Sabtu. - Foto Rosli Talib
Zakaria (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan pada majlis Semarak Kasih Ramadan yang diadakan di Surau Al Muhajirin, Bukit Mahkota pada Sabtu. - Foto Rosli Talib
A
A
A

BANGI - Seramai 72 asnaf dan 30 anak-anak yatim diraikan dalam Program Semarak Kasih Ramadan anjuran Persatuan Bekas Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pertubuhan Gagasan Generasi Profesional (GGP) dengan kerjasama Surau Al Muhajirin Bukit Mahkota, di sini pada Sabtu.

Timbalan Presiden Persatuan Bekas Pegawai SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, golongan asnaf dan anak-anak yatim tidak harus dipinggirkan dalam merasai kemeriahan persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, penganjuran program seumpama itu bertujuan membangkitkan kesedaran kepada mereka yang mampu untuk berkongsi rezeki serta kasih sayang dengan golongan sasar.

“Mereka menerima barangan keperluan dapur untuk digunakan dalam membuat persediaan Hari Raya Aidilfitri dan bagi anak-anak yatim mereka menerima barangan untuk kegunaan persekolahan," katanya pada sidang akhbar selepas selesai program berkenaan.

Turut hadir Bekas Timbalan Ketua Pesurujaya SPRM, Datuk Seri Zakaria Jaafar dan Pengerusi Surau Al Muhajirin, Mohd Hasbullah Othman.

Nasir (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan.
Nasir (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan.

Sementara itu, Presiden GGP, Datuk Sr Ts. Nasir Saari berkata, pihaknya sangat prihatin dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan.

“Kami amat berbesar hati kerana dapat menjalinkan kerjasama dengan SPRM dan komuniti setempat bagi menjayakan program berkenaan yang dapat merapatkan ukhuwah dan silaturahim.

“Program ini dapat menarik golongan yang diraikan agar mereka dapat merasai Hari Raya Aidilfitri sama seperti insan-insan yang lain,” katanya.

Jelasnya, GGP sebelum ini turut aktif dalam bidang kebudayaan, sukan dan kerohanian serta terlibat dalam program kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan.