'Junjung kedaulatan undang-undang, bukan kerjasama politik'

NORALI
NORALI
A
A
A

IPOH - Gagasan Melayu Perak (GMP) menggesa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjunjung kedaulatan undang-undang yang dilaungkan kerajaan berbanding kerjasama politik sesama parti pemerintah berhubung isu hak milik kekal tanah kampung baru.

Timbalan Presidennya, Norali Nordin berkata, isu hak milik kekal tanah kampung baharu di negeri ini tidak seharusnya ditimbulkan kembali memandangkan penjelasan sudah dibuat oleh menteri besar bahawa tuntutan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan melanggar ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara yang bermesyuarat pada 25 April 1997.

Beliau berkata, tetapi malangnya DAP sebagai sebuah parti yang menguasai kerajaan masih memilih untuk memperjuangkan sebuah tuntutan yang melanggar Perlembagaan Persekutuan.

"Apakah sebenarnya motif DAP? Kalau sekadar mahu bermain politik dengan membelakangkan undang-undang, maka rakyat Perak secara amnya perlu menolak politik longkang seperti ini. Mengapa perlu penduduk kampung baharu sahaja diberikan keistimewaan memperolehi tanah secara hak milik kekal?

"Tahukah DAP bahawa berjuta penduduk Malaysia yang lain sama ada di ceruk-ceruk kampung dan bandar-bandar besar masih hanya memperolehi tanah secara pajakan 60 tahun dan 99 tahun sahaja?" katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahmad Faizal semalam bahawa kerajaan Perak akan berbincang dengan rakan komponen dalam PH di negeri ini mengenai isu pemberian hak milik kekal tanah kampung baru Cina sebelum membuat keputusan lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN: Kampung baru Cina: MB Perak sedia bincang dengan pemimpin PH

Terdahulu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming ketika menyampaikan ucapan dasar pada Konvensyen DAP Perak pada Ahad lalu mendesak kerajaan Perak supaya menunaikan janji pemberian hak milik kekal tanah kampung baru bermula hujung tahun ini.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN; DAP Perak tuntut janji hak milik kekal kampung baru

Sementara itu, Norali berkata, pihaknya sebelum ini sudah pun membuat kenyataan dengan hujahan undang-undang mengapa tuntutan berkenaan tidak boleh dilayan.

Menurutnya, GMP merasakan tujuan utama DAP mengipas sekali lagi isu tuntutan tersebut hanyalah untuk memulakan provokasi kepada keharmonian kaum yang sudah terjalin erat di Malaysia demi kelangsungan agenda politik mereka.

Bagi mengelak isu seumpama itu timbul, beliau berkata, GMP mencadangkan supaya Perlembagaan Persekutuan perlu mempunyai sebuah mukadimah untuk berfungsi sebagai penerang kepada cerita yang terjadi sebelum perlembagaan itu termaktub secara bertulis.

"Ia adalah sejarah ringkas bagaimana Perlembagaan Malaysia dimeterai sehingga terbentuk seperti acuan yang ada sekarang ini. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan pemahaman kepada generasi baharu yang sudah terputus dari sejarah asal pembentukan negara.

"Ia juga akan menjadi seperti suatu penutup kepada debat-debat syok sendiri ahli-ahli politik yang mahu mengambil kesempatan dari jurang pengetahuan yang terdapat di antara generasi baharu dan generasi pelopor negara Malaysia," katanya.

Menurutnya, pada masa sama mukadimah juga boleh menjadi penghindar kepada tuntutan-tuntutan yang menyalahi undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.