Kampung baru Cina: MB Perak sedia bincang dengan pemimpin PH

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan berbincang dengan rakan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) mengenai isu pemberian hak milik kekal tanah kampung baru Cina sebelum membuat keputusan lanjut.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pandangan semua pihak akan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat.

Menurutnya, perbincangan itu akan dibuat dalam masa terdekat bersama semua pimpinan PH di Perak.

"Saya sentiasa katakan apa juga yang kita lakukan di dalam kerajaan Perak kita akan mendapatkan pandangan daripada semua pihak dan tentunya apa yang diperkatakan dalam konvensyen DAP baru-baru ini akan mendapat perhatian pimpinan PH Perak.

"Kami akan berbincang tentang perkara itu dan kita akan buat keputusan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Santai dan Pelancaran Logo Dana Kreatif Perak @ PORT di Koloni Karyawan Amanjaya (PORT), di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing; Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Orang Besar Jajahan Kinta, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan; Pengarah terkenal, Mamat Khalid dan beberapa karyawan lain.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai desakan DAP Perak terhadap kerajaan negeri supaya menunaikan janji pemberian hak milik kekal tanah kampung baru bermula hujung tahun ini.

Ahmad Faizal menegaskan kerajaan PH Perak tidak ada masalah dan masih lagi bekerja sebagai satu pasukan.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah hari ini dalam pelbagai mesyuarat saya lalui bersama rakan-rakan exco lain semua berjalan dengan baik.

"Jadi kita terus memberikan perhatian terhadap perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Kita tak fikir permainan politik," katanya.

Pada 13 Ogos 2018, Ahmad Faizal semasa menggulung perbahasan atas Titah Diraja pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 menjelaskan pihaknya tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung-kampung baharu kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) pada 25 April 1997 menetapkan tempoh pegangan pajakan bagi kampung-kampung baharu tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: DAP Perak tuntut janji hak milik kekal kampung baru