Polis tahan tiga beranak positif dadah

No Image Caption
A
A
A

KUNAK - Polis menahan tiga beranak warga tempatan dan tiga lelaki warga Filipina dalam operasi membanteras dadah di dua lokasi di sini semalam.

Ketua Polis Kunak, Superintendan Baharin Md Tahir berkata, dua lelaki bersama bapa mereka yang berumur antara 20 dan 50 tahun itu ditahan selepas polis menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kunak Jaya pada jam 1 pagi susulan maklumat ramai.

Beliau berkata, tiga lelaki warga Filipina itu pula ditahan pada jam 3.30 petang berhampiran ladang sawit Pangi, Jalan Kunak-Semporna dan polis turut merampas enam paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu bernilai RM924 yang dianggar seberat 6.16 gram.

"Ujian awal saringan air kencing turut mendapati semua suspek positif dadah jenis methaphetamine," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kunak untuk tindakan lanjut dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39A (1) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. - Bernama

Artikel Berkaitan: