Kampung baru Cina: Exco DAP sedia bantu MB Perak tunai janji

Kor Ming dan Kit Siang bersama-sama pemimpin DAP Perak dan perwakilan yang hadir pada Konvensyen DAP Perak, Ahad lalu. (Gambar kecil: Howard Lee)
Kor Ming dan Kit Siang bersama-sama pemimpin DAP Perak dan perwakilan yang hadir pada Konvensyen DAP Perak, Ahad lalu. (Gambar kecil: Howard Lee)
A
A
A

IPOH - Kesemua Exco Kerajaan Perak daripada DAP akur dengan arahan parti supaya membantu menteri besar melaksanakan janji manifesto Pakatan Harapan (PH) di negeri ini khususnya berkaitan isu hak milik kekal tanah kampung baru Cina.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howar Lee Chuan How berkata, bagaimanapun Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sudah mengeluarkan kenyataan untuk membawa isu tuntutan ketika Konvensyen DAP Perak baru-baru ini kepada Majlis Pengerusi PH Perak.

"Kita dah usahakan selama ini cuma perkara itu keputusan dasar parti. Sebagai ahli DAP kita akur dengan arahan parti dan pada masa sama akan mengikut konsensus yang ada.

"Segala perbincangan peringkat dasar harus dibuat bersama di peringkat Majlis Pengerusi PH. Jadi kedua-dua keputusan kami terikat dan akan ikut keputusan," katanya pada satu sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas arahan yang dikeluarkan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming supaya kesemua lima Exco Kerajaan Perak mewakili DAP membantu Ahmad Faizal menunaikan janji manifesto PH Perak termasuk hak milik kekal tanah kampung baru.

Pada Konvensyen DAP Perak yang berlangsung Ahad lalu, Kor Ming mahu kerajaan negeri mendesak supaya pemberian hak milik kekal tanah kampung baru segera diberikan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina.

Semalam, Ahmad Faizal berkata, kerajaan Perak akan berbincang dengan rakan komponen dalam PH di negeri ini mengenai isu pemberian hak milik kekal tanah kampung baru Cina sebelum membuat keputusan lanjut.

Pada 13 Ogos 2018, Ahmad Faizal semasa menggulung perbahasan atas Titah Diraja pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 menjelaskan pihaknya tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung-kampung baharu kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) pada 25 April 1997 menetapkan tempoh pegangan pajakan bagi kampung-kampung baharu tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN Kampung baru Cina: MB Perak sedia bincang dengan pemimpin PH

DAP Perak tuntut janji hak milik kekal kampung baru