Program Jualan Barang Dapur Putrajaya dibatal

Paparan skrin hantaran Facebook dimuat naik Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Paparan skrin hantaran Facebook dimuat naik Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Jualan Barang Keperluan Dapur yang sepatutnya berlangsung hari ini terpaksa dibatalkan ekoran penarikan balik kelulusan bagi kegunaan Padang Komuniti Presint 9, Putrajaya oleh pihak tertentu.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendakwa, walaupun telah membayar sewa untuk menggunakan kemudahan tersebut, pegawai beliau pada petang semalam dimaklumkan oleh pihak terlibat mengenai keputusan menarik balik kelulusan itu.

"Maaf rakyat Putrajaya kerana niat saya hendak meringankan beban rakyat tetapi tempat penjualan selepas diluluskan ditarik balik, tidak diberi kebenaran untuk menggunakannya, kita bayar sewa, telah beli barang-barang keperluan asas seperti beras, ayam dan lain-lain.

"Niat saya hendak jual barang keperluan kepada rakyat dengan setengah harga daripada pasaran. Dua hari telah dipilih iaitu pada 26 dan 27 November dan akan diadakan seterusnya tiap-tiap bulan," kata Tengku Adnan menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Menurutnya, beliau tidak meminta sebarang bantuan kerajaan sebaliknya cuma hanya memohon kebenaran kegunaan padang itu sebagai tempat jualan yang kini telah ditarik balik oleh pihak tertentu.

"Saya rasa sedih kerana sebagai wakil rakyat tidak dibenarkan menggunakan tempat yang dibina untuk rakyat dan untuk membantu rakyat," ujar beliau.

Menerusi hantaran sama, Tengku Adnan turut memuat naik resit bayaran sewaan kemudahan berjumlah RM45.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Tengku Adnan yang sebelum ini merupakan Menteri Wilayah Persekutuan menjadikan Program Jualan Barang Keperluan Dapur sebagai aktiviti bulanan dalam kawasan Parlimen Putrajaya bagi membantu meringankan beban kos sara hidup penduduk.

Padang Komuniti Presint 9 merupakan di bawah seliaan Perbadanan Putrajaya (PPj).

Artikel Berkaitan: