Lima individu dijangkiti malaria di Terengganu

Dr Nor Azimi
Dr Nor Azimi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai lima individu terdiri daripada seorang warga tempatan dan empat warga asing dikesan mengalami jangkitan malaria manusia jenis Plasmodium Malariae.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, jangkitan terhadap seorang warga tempatan itu dikesan berlaku pada 23 Oktober 2019.

Menurutnya, susulan kes tersebut, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Nerus telah mengesan empat warga asing yang menghidap jangkitan malaria jenis yang sama.

"Kesemua warga asing itu pernah bekerja di negara asal iaitu di Lombok, Indonesia dan datang ke Malaysia antara bulan Februari hingga Julai 2019 secara persendirian.

"Jabatan Kesihatan Negeri dan PKD masih menjalankan siasatan untuk mengenalpasti punca sebenar jangkitan tersebut," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Nor Azimi berkata, kenyataan itu dikeluarkan susulan mesej tular di media sosial pada 20 November lalu yang mengatakan berlakunya malaria di Kampung Tepoh, Batu Rakit, Kuala Nerus.

Katanya, warga tempatan dan kesemua warga asing yang dijangkiti malaria itu telah dirawat.

"PKD Kuala Nerus juga telah menjalankan aktiviti saringan ujian darah beramai-ramai (mass blood survey) dan saringan kes demam (Active Case Detection) dalam kalangan penduduk di lokaliti kes bagi mengesan kemungkinan jangkitan malaria menular dalam kalangan penduduk terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini situasi kejadian malaria di Kuala Nerus ini adalah terkawal dan tiada jangkitan baru dikesan dalam tempoh hampir lima minggu dari tarikh kes dikesan," katanya.

Beliau berkata, sebagai langkah pencegahan dan kawalan, PKD Kuala Nerus telah menjalankan semburan dinding kediaman dan mengedarkan kelambu bagi mengawal nyamuk pembawa malaria.

"Kita juga memaklumkan kepada pengamal-pengamal perubatan berdekatan supaya lebih peka berkaitan kejadian wabak ini dan meningkatkan saringan malaria dalam kalangan rakyat tempatan serta warganegara asing yang datang ke fasiliti kesihatan masing-masing.

"Ini termasuk menjalankan ujian darah bagi mengesan jangkitan malaria. Penduduk juga telah diberi pendidikan kesihatan mengenai kaedah pencegahan jangkitan malaria," katanya.

Berdasarkan rekod Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, kes terakhir malaria bukan tempatan jenis ini dikesan berlaku di mukim Hulu Chukai di daerah Kemaman pada 2012.