X

Kindly register in order to view this article
!

Suami isteri disamun 'pegawai polis' ketika memancing

Gari antara yang dirampas daripada kedua-dua suspek.
A
A

KEPALA BATAS - Dua lelaki ditahan selepas menyamar sebagai pegawai polis sebelum menyamun sepasang suami isteri yang sedang memancing melibatkan kerugian RM3,700, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kedua-dua suspek ditahan di dua lokasi berbeza di sini pada jam 11 pagi tadi selepas menerima laporan daripada mangsa.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 7 malam itu, sepasang suami isteri tersebut didatangi kedua-dua suspek ketika sedang memancing di tepi sawah di Sungai Puyu, Butterworth.

"Kedua-dua suspek yang menaiki sebuah motosikal itu telah memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.

"Suspek kemudian membawa mangsa dan isterinya ke sebuah stesen minyak sebelum menyamun wang tunai mangsa sebanyak RM1,700 dan seutas rantai leher emas isterinya.

"Suspek terus melarikan diri selepas menyamun mangsa. Mangsa terus ke balai polis untuk membuat laporan," katanya.

Noorzainy berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berusia 30 dan 34 tahun itu mengaku terlibat dalam kes tersebut.

"Kedua-dua suspek juga mengaku telah memperkenalkan diri sebagai polis dan menunjukkan gari semasa melakukan jenayah itu.

"Kita merampas beberapa barangan antaranya sebuah motosikal, topi keledar, satu gari dan satu salinan lesen kenderaan motor yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa kejadian," katanya.

Menurutnya, hasil ujian awal saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan masing-masing mempunyai 10 rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.

"Kedua-dua akan dibawa ke mahkamah esok untuk perintah reman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus