Galak masyarakat bercucuk tanam

Datuk Bandar Shah Alam Datuk Haris Kasim melawat booth-booth pameran di Hari Kebun Komuniti Peringkat MBSA 2019.
Datuk Bandar Shah Alam Datuk Haris Kasim melawat booth-booth pameran di Hari Kebun Komuniti Peringkat MBSA 2019.
A
A
A

SHAH ALAM - Penganjuran Hari Kebun Komuniti Shah Alam bertujuan menggalakkan aktiviti bercucuk tanam dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam Shahrin Ahmad berkata, program itu juga merupakan platform menerapkan ilmu keusahawanan dalam bidang pertanian.

Menurutnya, program berkenaan merupakan inisiatif MBSA menggalakkan komuniti bercucuk tanam di dalam kawasan perbandaran selain menjimatkan kos sara hidup keluarga.

"Aktiviti bercucuk tanam ini boleh boleh dijadikan sebagai pendapatan sampingan dan meningkatkan sosio ekonomi komuniti," katanya melalui kenyataan hari ini.

Menurutnya, MBSA berharap dapat menggalakkan dan memberikan peluang keusahawanan kepada komuniti untuk menceburkan diri di dalam industri pertanian berskala kecil dan sederhana.

"Selain itu, kebun komuniti ini juga dapat menjadi satu program mampan yang berterusan di kawasan pentadbiran Shah Alam," katanya.

Program yang berlangsung di Taman Rekreasi Seksyen 28 itu dianjurkan Majlis Bandaraya Shah Alam(MBSA) bersama Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor.

Antara pengisian aktiviti sempena Hari Kebun Komuniti 2019 ini ialah bengkel Latihan Pertanian Asas Tanaman dan ‘Mini Fertigasi’ (Pertanian Tanpa Tanah) oleh Jabatan Pertanian, bengkel Natural Farming dan Kompos Makanan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), serta bengkel Akuaponik dan Pengurusan Produk oleh Jabatan Perikanan Negeri Selangor.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, turut diadakan ‘pocket talk’ iaitu perkongsian produk dan pengalaman sepanjang bergelar usahawan pertanian daripada Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

MBSA turut mengadakan booth pameran jabatan MBSA serta agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, MARDI, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Perikanan Negeri Selangor dan lain-lain.

Program dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor V.Ganabatirau.

Turut hadir, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim, Ahli-Ahli Majlis dan Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA.