Undian gugurkan Dr Maszlee daripada Kabinet berniat jahat

Dr Maszlee -Foto Bernama
Dr Maszlee -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Undian dalam talian sebuah portal berita yang memaparkan keputusan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik perlu digugurkan dalam barisan Kabinet dianggap mempunyai niat jahat.

Seramai 18 Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melalui kenyataan bersama percaya undian berkenaan bertujuan menjatuhkan kredibiliti menteri itu.

“Kami Timbalan-Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar IPTA dengan sebulat suara mempertikaikan dan menolak keputusan undian yang dilaksanakan oleh portal berita berkenaan.

“Kami percaya undian tersebut berniat jahat menjatuhkan kredibiliti Dr Maszlee Malik,” kata kenyataan itu hari ini.

Jumaat lalu, portal berkenaan meletakkan nama Dr Maszlee sebagai menteri yang meraih undian tertinggi untuk digugurkan sekiranya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan rombakan Kabinet.

Melalui kenyataan bersama itu, mereka turut menyatakan sokongan penuh terhadap Dr Maszlee sebagai Menteri Pendidikan kerana percaya beliau telah menjalankan tugas dengan baik dan penuh bertanggungjawab.

“Kami berharap undian dan tulisan yang cuba menjejaskan kredibiliti Dr Maszlee tidak akan mempengaruhi apa-apa keputusan Perdana Menteri seandainya rombakan kabinet dibuat pada masa akan datang,” katanya.

Mereka yang menyatakan sokongan itu adalah Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh (Universiti Sultan Zainal Abidin); Prof Dr Othman A Karim (Universiti Kebangsaan Malaysia); Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin (Universiti Malaysia Pahang); Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan (Universiti Malaysia Perlis); Prof Madya Dr Zulkifli Hasan (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia); Prof Dr Abdul Aziz Abdul Raman (Universiti Malaya); Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman (Universiti Putra Malaysia); Prof Madya Dr Afandi Ahmad (Universiti Tun Hussein Onn Malaysia) dan Prof Madya Dr Hendrik Lamsali (Universiti Utara Malaysia).

Artikel Berkaitan:

Turut serta menyokong ialah Prof Dr Aldrin Abdullah (Universiti Sains Malaysia); Prof Dr Azizan Abdullah (Universiti Teknologi Mara Malaysia); Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani (Universiti Islam Sains Malaysia); Prof Dr Zaliman Sauli (Universiti Malaysia Kelantan); Prof Dr Raman Noordin (Universiti Malaysia Sabah); Mejar Prof Dr Muhd Zu Azhan Yahya (Universiti Pertahanan Nasional Malaysia); Prof Dr Mohd Shahizan Othman (Universiti Teknologi Malaysia); Dr Nurulfajar Abd Manap (Universiti Teknikal Malaysia Melaka) dan Prof Dr Md Amin Md Taff (Universiti Pendidikan Sultan Idris).

Dr Maszlee, 45, yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam dilantik sebagai Menteri Pendidikan pada Mei 2018 selepas Dr Mahathir membentuk Kerajaan Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.