X

Kindly register in order to view this article
!

Zon bebas cukai terbengkalai: Terengganu belum buat keputusan

Ahmad Samsuri Mokhtar
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu masih belum membuat keputusan sama ada meneruskan atau tidak projek pembangunan zon bebas cukai di Pulau Bayas di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu yang terbengkalai.

Difahamkan, pembinaan kawasan bebas cukai Pulau Bayas setakat ini sudah mencapai tahap 77 peratus melibatkan kos kira-kira RM200 juta.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya perlu melihat secara menyeluruh tentang perkembangan di situ.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu sedikit masa untuk membuat pertimbangan termasuklah membuat beberapa penilaian di tempat yang masih belum disiapkan.

"Kita masih lagi mahu menjayakannya, cuma bagaimana dan apa pengisiannya perlu penelitian lanjut. Tiada gunanya kalau struktur yang hampir siap tapi kita tinggalkannya begitu sahaja, ia akan rosak.

"Bayangkan berapa banyak duit yang sudah dibelanjakan. Cuma bila ada kekangan kewangan, banyak lagi perkara-perkara lain yang kita kena lihat secara menyeluruh supaya ia tidak mendatangkan kerugian kepada negeri dan memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak," katanya ketika ditemui pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri akan melihat kepada hala tuju projek berkenaan pada masa yang sama melihat kepada kemampuan kewangan negeri.

Beliau juga tidak menolak untuk membuka peluang kepada pihak swasta yang berminat untuk menjayakan projek itu.

"Masih ada lagi yang perlu disiapkan. Kosnya tidaklah terlalu besar tetapi dengan bebanan kewangan yang ditanggung kerajaan negeri, memang kemampuan kita agak terhad.

"Kita boleh timbangkan jika ada pihak swasta yang nak ambil alih. Buat masa ini, kita masih belum terima mana-mana permohonan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus