X

Kindly register in order to view this article
!

Pegawai JAS Johor didakwa terima suapan RM7,200

Shamsul Adli (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas empat pertuduhan menerima wang berjumlah RM7,200 tiga tahun lepas. - Foto Bernama
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima wang berjumlah RM7,200 tiga tahun lepas.

Shamsul Adli Mohd Ali, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Mengikut kertas pendakwaan, tertuduh yang bertugas sebagai pegawai kawalan jabatan itu ketika itu menerima sejumlah wang menerusi akaun syarikat miliknya daripada seorang individu yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi sebanyak empat kali antara 1 Disember 2016 sehingga 13 Jun 2017.

Sehubungan itu, dia didapati melakukan kesalahan yang boleh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ikhwan Ihsan Jalaludin memohon agar mahkamah meletakkan wang jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun peguam bela tertuduh, Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly memohon agar wang jaminan dikurangkan memandangkan Shamsul Adli adalah bapa kepada dua orang anak dan masih menyara keluarganya.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Disember ini untuk sebutan semula kes. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!