Belanjawan 2020: Terengganu peruntuk RM1.832 bilion

Ahmad Samsuri bersama buku Belanjawan Terengganu 2020 sebelum membentangkannya di Wisma Darul Iman hari ini. - Foto Urus setia Penerangan Darul Iman
Ahmad Samsuri bersama buku Belanjawan Terengganu 2020 sebelum membentangkannya di Wisma Darul Iman hari ini. - Foto Urus setia Penerangan Darul Iman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu mengumumkan peruntukan RM1.832 bilion bagi perbelanjaan mengurus dalam Belanjawan 2020 berbanding anggaran hasil yang bakal diperoleh sebanyak RM1.666 bilion, dengan defisit 10 peratus atau RM166 juta.

Bertemakan Membina Generasi Terengganu Sejahtera, belanjawan kali ini didokong dengan lima teras utama iaitu memartabatkan pelaksanaan Islam, menjana pertumbuhan ekonomi, membangun modal insan, melestari kehidupan sejahtera serta memantapkan penyampaian dan tadbir urus negeri.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi melaksanakan Belanjawan Terengganu 2020, kerajaan mencadangkan peruntukan sebanyak RM1.832 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala perbelanjaan pembangunan dan Kumpulan Wang Bekalan Air masing-masing sebanyak RM700 juta dan RM1.63 juta.

Sementara itu katanya, pendapatan hasil cukai adalah sebanyak RM66.93 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM170.37 juta dan terimaan bukan hasil sebanyak RM1.43 bilion.

"Bagi perbelanjaan mengurus, sebanyak RM86.83 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan tanggungan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang dan sejumlah RM1.745 bilion untuk perbelanjaan bekalan.

"Di bawah perbelanjaan bekalan pula, sebanyak RM277.59 juta untuk emolumen, RM207.15 juta untuk perkhidmatan dan bekalan, RM28.52 juta untuk aset, RM1.23 bilion untuk pemberian dan bayaran tetap.

"Di bawah komponen pemberian dan kenaan bayaran tetap, sejumlah RM500 juta akan dicarumkan kepada Kumpulan Wang Pembangunan bagi menampung baki semasa sehingga 31 Oktober 2019 iaitu berjumlah defisit RM671 juta," katanya sewaktu membentangkan Belanjawan Terengganu 2020 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak RM215 juta diperuntukkan bagi pemberian kepada pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan pelbagai agensi manakala RM145 juta pula bagi pemberian kepada jabatan-jabatan kerajaan dan RM370 juta bagi pelbagai program di bawah kawalan Pejabat Setiausaha Kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai belanjawan defisit, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri memikul bebanan kewangan yang agak besar bagi tahun 2020.

"Ia susulan jemaah menteri membuat keputusan drastik dengan memotong peratus amaun Bayaran Tunai Petroleum (BTP) mulai tahun 2019 sebagai pembayaran semula hutang kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan.

"Selain itu, komitmen wajib melibatkan dua projek keutamaan daripada pembayaran tertangguh (deferred payment) iaitu kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf loji rawatan air di Bukit Sah, Kemaman dan Skim Bekalan Air Kuala Terengganu Utara serta empat projek keutamaan daripada pembayaran berjadual (scheduled payment)," katanya.