Kerajaan Perak salur bantuan segera kepada mangsa ribut

Ahmad Faizal meninjau beberapa rumah di sekitar Manjoi selepas kejadian ribut petang tadi.
Ahmad Faizal meninjau beberapa rumah di sekitar Manjoi selepas kejadian ribut petang tadi.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan menyalurkan segera bantuan yang diperlukan kepada mangsa ribut di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya sedang mengumpulkan maklumat jumlah rumah dan mangsa yang terjejas akibat ribut ini.

Menurutnya, mangsa yang terjejas juga disarankan membuat laporan polis bagi memudahkan bantuan susulan dibuat.

"Saya telah meninjau rumah-rumah yang dilanda ribut semasa hujan lebat dan angin kuat di Gugusan Manjoi dan Meru petang tadi. Saya dapati beberapa rumah mengalami kerosakan teruk dan ada di kalangan mangsa terpaksa dipindahkan sementara ke Surau Kampung Kolam.

"Fokus kita adalah untuk menyalurkan bantuan segera kepada semua mangsa untuk malam ini dan kita sedang kumpul maklumat jumlah rumah dan mangsa yang terjejas," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat dan meninjau beberapa rumah yang yang terjejas teruk akibat ribut di sekitar Manjoi, di sini.

Ahmad Faizal berkata, pihak Majlis Bandaraya Ipoh bersama masyarakat setempat bertungkus lumus membersihkan pokok tumbang manakala pihak Tenaga Nasional Berhad membantu menyambung semula bekalan elektrik.

"Esok saya akan menggerakkan usaha gotong-royong untuk membaiki rumah-rumah yang terjejas.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin ukhuwah di kalangan masyarakat di sini kuat dan kita akan membantu semua mangsa," katanya yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut meminta semua mangsa supaya mematuhi arahan pihak berkuasa jika perlu ke pusat penempatan sementara demi keselamatan mereka.

Katanya, mangsa dinasihatkan membawa bersama dokumen penting selain pakaian dan keperluan harian lain di pusat pemindahan tersebut.