Insiden penyokong dipukul bukan berlaku di Stadium Bukit Jalil

Huzir
Huzir
A
A
A

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia maklum berhubung video yang menunjukkan beberapa individu dipercayai warga Indonesia yang dicederakan oleh beberapa orang dipercayai warga tempatan, kejadian itu didakwa ada kaitan dengan perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Indonesia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan awal, pihaknya percaya video yang menunjukkan penyokong Indonesia dipukul itu tidak berlaku di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Penyebaran video berkenaan dipercayai dibuat dengan niat untuk memburukkan reputasi negara serta menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia. Selain itu penyebaran video itu juga dilihat mempunyai agenda untuk memudaratkan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Huzir berkata, PDRM sedang menyiasat kesahihan video berdurasi 48 saat yang tular di media sosial.

“Setakat ini, kita telah menerima satu laporan polis yang mendesak agar kesahihan video itu disiasat segera. Kita bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia SKMM untuk menjalankan siasatan terperinci berkenaan video tersebut,” katanya.

Huzir menggesa individu yang menjadi mangsa sebagaimana dipaparkan dalam video itu tampil membuat laporan polis.

“Mana-mana individu yang menjadi saksi atau mempunyai maklumat berkenaan insiden tersebut juga diminta untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menyebarkan video tersebut kerana dikhuatiri ia mampu mencetuskan kemarahan masyarakat di negara ini mahupun masyarakat Indonesia.

Artikel Berkaitan:

“Keamanan dan hubungan baik kedua dua negara tidak sewajarnya dicalarkan dengan penyebaran video yang tidak diketahui lagi kesahihannya,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.