Bahana dadah, basikal pun boleh...

Nor Azmi (kiri) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang akhbar di IPD Sabak Bernam di sini hari ini.
A
A

SABAK BERNAM - Polis berjaya menumpaskan satu lagi kes curi basikal membabitkan suspek sama yang ditahan Ahad lalu.

Ketua Polis Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, polis membongkar kegiatan itu selepas suspek yang juga penagih dadah mengaku mencuri sebuah basikal yang diletakkan di luar sebuah restoran makanan segera di Pekan Sungai Besar pada 19 Oktober lalu.

Menurutnya, suspek berusia 29 tahun itu dipercayai mencuri dua basikal di lokasi berasingan bertujuan menjualnya kepada pihak ketiga dengan wang diperoleh itu digunakan untuk membeli dadah.

"Bagaimanapun suspek tidak sempat menjual basikal yang dicuri apabila dicekup polis," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini hari ini.

Nor Azmi berkata, dalam kejadian jam 3.20 petang itu, mangsa berusia 13 tahun terkejut apabila basikal bernilai RM1,000 hilang selepas diletakkan di luar sebuah restoran makanan segera.

Katanya, polis menggerakkan usaha memburu suspek yang terlibat sama dalam kes mencuri sebuah basikal di Sabak Bernam.

"Hasil risikan dan maklumat awam, sepasukan anggota polis berjaya menahan suspek di stesen bas di Sungai Besar jam 11.30 malam.

"Suspek yang ditahan kemudiannya mengaku terlibat dalam kes kecurian basikal terbabit.

"Polis merampas basikal terbabit di kawasan Jeti Nelayan Jalan 2, Bagan Sungai Besar petang kelmarin," katanya.

Menurutnya, sehingga kini suspek masih ditahan reman untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.