E-Majikan lebih pantas, selamat

Mohd Sabirin menunjukkan risalah berkenaan E-Majikan yang disediakan LZS.
Mohd Sabirin menunjukkan risalah berkenaan E-Majikan yang disediakan LZS.
A
A
A

LEMBAGA Zakat Selangor (LZS) menyediakan platform E-Majikan bagi memudahkan syarikat membuat transaksi pembayaran potongan gaji pekerja.

Ketua Divisyen Kutipan LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, sistem itu diwujudkan sejak 2005 sebelum dikemas kini pada 2017 bagi membolehkan syarikat untuk menghantar dokumen dan bayaran secara atas talian.

Menurutnya, sebelum ini majikan menggunakan kaedah manual melalui pembayaran cek atau tunai dengan penghantaran cetakan dokumen yang terdedah kepada kesilapan dalam pengisian data.

“LZS berdepan masalah operasi di mana jumlah pembayaran yang dibuat majikan tidak sama dengan data maklumat potongan gaji. Keadaan ini menyebabkan proses pengesahan terganggu dan semakan semula perlu dilakukan.

LZS menganjurkan kempen E-Majikan untuk menggalakkan syarikat menggunakan kaedah pembayaran secara atas talian.
LZS menganjurkan kempen E-Majikan untuk menggalakkan syarikat menggunakan kaedah pembayaran secara atas talian.

“Bagaimanapun, menerusi E-Majikan, syarikat boleh memasukkan sendiri data pekerja dan jumlah potongan. Transaksi tidak akan berjaya sekiranya jumlah potongan dan jumlah bayaran tidak sepadan,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, LZS giat mempromosi perkhidmatan E-Majikan bagi memudahkan urusan pembayaran dengan menukarkan kaedah manual kepada atas talian yang lebih cepat dan selamat.

“Kutipan potongan gaji adalah yang tertinggi pada tahun 2018 dan tahun-tahun sebelumnya dengan kutipan RM324 juta melibatkan seramai 4,458 majikan atau 188,000 orang tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

“Hanya 1,382 syarikat atau 31 peratus majikan menggunakan perkhidmatan E-Majikan. LZS sasar jumlah itu meningkat kepada 1,800 syarikat sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Mohd Sabirin berkata, LZS juga mengadakan kempen E-Majikan kepada majikan yang ingin melaksanakan transaksi melalui kaedah ini yang sedang berlangsung dari 1 September hingga 30 November.