LIMA’ 19: Peluang kerajaan pertingkatkan pertahanan siber

Mohamad (dua, kanan) membaca doa di pusara Muhammad Adib selepas menziarahi keluarga Allahyarham.
Mohamad (dua, kanan) membaca doa di pusara Muhammad Adib selepas menziarahi keluarga Allahyarham.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan akan mempertingkatkan aspek pertahanan siber, Pesawat Tanpa Pemandu (UAV) serta teknologi dron memandangkan perairan negara begitu luas dan memerlukan teknologi terbaharu.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, kerajaan akan mengambil peluang melalui penganjuran Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) Mac ini, dalam meninjau aset baharu yang bersesuaian.

Menurutnya, pihaknya turut berhasrat mengadakan rundingan bersama syarikat dan pempamer di LIMA’19 yang memfokus kepada aspek pertahanan siber sebelum teknologi itu dapat diaplikasikan di perairan negara.

“Kita mahu pertingkatkan pertahanan siber, UAV dan dron pada masa akan datang, kerana kawalan laut kita agak luas daripada pantai Timur hingga ke Sabah dan Sarawak, termasuk hingga Laut China Selatan, serta perairan yang terdapat pulau yang menjadi tuntutan bertindih,” katanya.

Mohamad berkata, pertahanan maritim kini menjadi begitu penting termasuk untuk mengawasi Selat Melaka yang menjadi laluan lebih 100,000 buah kapal setahun.

“Dalam dunia pertahanan sekarang, yang jadi keutamaan ialah UAV dan ruang siber, saya yakin syarikat yang terbabit dalam LIMA akan berlumba-lumba pamerkan kehebatan mereka dalam bidang ini.

"Kita pula akan berunding dengan pempamer berhubung teknologi yang sesuai dengan perairan negara, selari dengan kemampuan kita,” katanya.

Mohamad berkata, meningkatkan aspek pertahanan membabitkan teknologi tinggi di perairan negara dalah penting khususnya dalam menyelesaikan masalah sempadan negara seperti tuntutan bertindih terhadap pulau dengan negara luar.

Artikel Berkaitan:

“Ini antara kelainan pada LIMA’19, yang memfokus kepada aspek pertahanan siber dan bakal menampilkan kehebatan teknologi dari negara antaranya, Russia dan Turki yang diketahui pelopor industri pertahanan moden,” katanya.

Menurutnya, pihaknya yakin penganjuran kali ini berlangsung lebih meriah memandangkan keseluruhan tempat sudah habis ditempah.

“100 peratus penyertaan pada pameran ini sudah ditempah, ini rekod baharu kerana sebelum ini, kebiasaan sekitar 70 hingga 80 peratus tempahan diterima dalam tempoh dua bulan sebelum acara,” katanya.

Mohamad turut menolak spekulasi penganjuran LIMA’19 akan membebankan kewangan negara, sebaliknya yakin kos perbelanjaan lebih rendah berbanding penganjuran terdahulu bersesuaian dengan keadaan semasa kewangan negara.

“Memang perbelanjaan kali ini lebih rendah berbanding sebelum ini, namun kita tetap anjurkan dengan hebat. Insya-ALLAH tidak akan berlaku ketirisan dalam penganjuran ini,” katanya.

LIMA ‘19 dijangka disertai 600 syarikat pempamer daripada 14 buah negara termasuk Amerika, Australia dan Jepun membabitkan pemain industri pertahanan dan syarikat komersial.

Terdahulu, Mohamad yang juga Presiden Amanah menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim, 24, anggota bomba yang maut ketika menjalankan tugas semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, November lalu.