LHDN kutip lebih RM4 bilion hasil PKPS

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mengutip lebih RM4 bilion menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS), yang diadakan sejak 3 November 2018 hingga 30 September lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, bagaimanapun jumlah itu belum muktamad kerana LHDN perlu membuat pelarasan dari semasa ke semasa.

“Ini kerana terdapat pembayar cukai menjelaskan cukai secara ansuran yang boleh melangkaui tempoh 12 bulan dan ada juga kes bayaran itu dilakukan menggunakan baki kredit cukai yang belum dibayar balik oleh LHDN,” katanya pada sesi Kamar Khas persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai bilangan pembayar cukai yang telah menjelaskan pembayaran dan hasil pembayaran berjaya dikumpul oleh LHDN menerusi PKPS.

Amiruddin turut memberi jaminan tidak akan melakukan siasatan dan audit terhadap pembayar cukai yang mengisytihar pendapatan secara sukarela menerusi program itu.

“LHDN menerima pengakuan yang dibuat secara suci hati serta tiada audit atau siasatan akan dilakukan, kecuali terdapat kes yang dirujuk oleh mana-mana agensi penguatkuasaan lain berhubung penglibatan pembayar cukai dalam aktiviti jenayah dan pengubahan wang haram,” katanya.

Kerajaan melaksanakan PKPS sejak 3 November 2018 hingga 30 September lalu, bertujuan memberi peluang kedua kepada pembayar cukai yang mempunyai masalah pematuhan cukai untuk membuat pembetulan pelaporan cukai mereka dengan menawarkan kadar penalti rendah iaitu hingga 15 peratus.

Selepas tempoh itu berakhir iaitu mulai 1 Oktober lalu, kadar penalti boleh dikenakan kepada pembayar cukai yang mempunyai masalah dalam perkara itu antara 45 peratus hingga 300 peratus seperti yang diperuntukkan di dalam akta di bawah pentadbiran LHDN. - Bernama

Artikel Berkaitan: