Wakil Jabatan Audit mengaku rakam mesyuarat 'pinda laporan audit 1MDB'

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang saksi hari ini mengakui bahawa beliau yang membuat rakaman audio berdurasi dua jam 45 minit pada mesyuarat yang dikaitkan dengan dakwaan meminda Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 24 Feb 2016.

Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus) Jabatan Audit Negara, Nor Salwani Muhammad, 52, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau telah memasukkan perakam suara ke dalam bekas pensel milik pegawai atasannya, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, wakil Jabatan Audit Negara tanpa pengetahuan Saadatul Nafisah sebelum mesyuarat bermula.

Saksi pendakwaan kelima itu berkata, beliau berbuat demikian sebagai persediaan untuk membuat minit mesyuarat penyelarasan laporan audit 1MDB berkenaan kerana beliau tidak dibenarkan berada dalam bilik mesyuarat itu.

"Saya dilantik sebagai koordinator penyediaan laporan audit 1MDB. Disebabkan itu, saya perlu mengetahui apa yang dibincangkan dalam mesyuarat terbabit kerana saya tidak boleh menyertainya (mesyuarat).

"Saadatul Nafisah tidak tahu yang saya menyimpan perakam dalam bekas pensel miliknya. Selepas mesyuarat habis, saya ambil perakam itu daripada bekas penselnya sebelum membawanya ke pejabat," katanya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Ketua Pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari keempat perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, berhubung dakwaan meminda laporan akhir audit 1MDB.

Ditanya mengenai pemilik perakam suara itu, Nor Salwani menjelaskan bahawa alat perakam itu hak milik Jabatan Audit Negara.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, saksi itu berkata, beliau tidak sempat memberitahu Saadatul Nafisah mengenai tindakannya meletakkan perakam tersebut ke dalam bekas pensel serta tidak berniat untuk menyorok perakam itu.

Artikel Berkaitan:

"Apabila saya diarah keluar dalam keadaan tergesa-gesa sebelum mesyuarat itu bermula, saya nampak bekas pensel di atas meja dan saya terus masukkan perakam ke dalamnya," katanya.

Muhammad Shafee: Takkan kamu tidak ada etika untuk memaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) (Tan Sri Dr Ali Hamsa) bahawa kamu sebagai wakil audit kena meletakkan alat perakam untuk tujuan mencatat minit?

Nor Salwani: Ketika itu, saya dalam keadaan kekalutan, saya tidak berpeluang untuk menyatakan demikian.

Semalam, rakaman audio mesyuarat itu yang dikaitkan dengan dakwaan meminda laporan akhir pengauditan 1MDB yang dipengerusikan Ali, diperdengarkan di Mahkamah Tinggi.

Nor Salwani juga memberitahu mahkamah bahawa beliau dan anggota pasukan khas audit 1MDB terkejut apabila mendengar rakaman suara meminta menggugurkan penyata kewangan 1MDB semasa mesyuarat membincangkan laporan audit syarikat itu.

Katanya, beliau mendengar rakaman mesyuarat itu bersama pasukannya sebaik sahaja kembali ke pejabatnya selepas mengiringi bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Saadatul Nafisah untuk menghadiri mesyuarat itu.

"Selepas mendengar rakaman itu, kami terkejut dengan apa yang berlaku dalam mesyuarat. Antara yang memeranjatkan kami adalah apabila diminta menggugurkan dua penyata kewangan 1MDB supaya ia tidak dilaporkan dalam laporan audit,” katanya.

Saksi berkata, selepas mendengar rakaman audio itu yang dirakam menggunakan perakam, beliau telah memindahkannya ke dalam cakera keras rasmi milik Jabatan Audit Negara dan 'thumb drive’ untuk tujuan keselamatan.

Jelas beliau lagi, rakaman asal audio tersebut telah dipadam kerana beliau bimbang akan diambil tindakan berikutan tindakannya merakam mesyuarat itu tanpa memaklumkan kepada pengerusi mesyuarat.

Mesyuarat itu turut dihadiri Ali, Arul Kanda, Tan Sri Shukry Mohd Salleh daripada Pejabat Perdana Menteri serta Datuk Seri Mohamad Isa Hussain daripada Perbendaharaan.

Selasa lepas, ketika memberi keterangan, Ali menegaskan bahawa mesyuarat 24 Februari 2016 itu diadakan atas arahan Najib yang mahu penyelarasan dalam Laporan Audit 1MDB.

Nor Salwani berkata, sepanjang 22 tahun bekerja, pengalaman mendengar rakaman mesyuarat bertarikh 24 Februari 2016 itu adalah yang pertama bagi beliau di mana kandungan rakaman itu sangat mengejutkan.

Beliau juga memberitahu Ambrin kelihatan sangat sedih selepas menghadiri mesyuarat itu dan melihatkan keadaan pegawai atasannya, beliau yang ketika itu menunggu di luar bilik mesyuarat memutuskan untuk mengikut Ambrin ke bilik air.

Ketika ditanya Sri Ram mengapa beliau berbuat demikian, saksi itu berkata, beliau bimbang melihat keadaan Ambrin yang sangat ‘fragile’.

Nor Salwani: Beliau (Ambrin) kelihatan sangat rapuh ketika itu, takut dia jatuh, jadi saya ikut beliau ke bilik air.

Sri Ram: Dia ada berkata apa-apa kepada awak ?

Nor Salwani: Dia merungut apa gunanya audit, itu yang saya dengar.

Terdahulu, ketika membacakan pernyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Nor Salwani berkata, Ambrin kelihatan tidak senang ketika menyampaikan arahan pengguguran tiga dapatan Laporan Pengauditan 1MDB terhadap pasukan audit Jabatan Audit Negara.

Tiga pengguguran itu membabitkan perjanjian Country Groups Securities Thailand dengan ACME Time Limited; dua versi penyata kewangan 1MDB yang berbeza bagi tahun 2014 dan isu penangguhan penerbitan Islamic Medium Term Notes (IMTN).

Ahmad Akram: Bila arahan pengguguran itu disampaikan oleh Ambrin?

Nor Salwani: Pada 24 Februari 2016 selepas mesyuarat (penyelarasan Laporan Pengauditan 1MDB) bersama (bekas) Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa yang juga hadir.

Ambrin, 70, pula memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa laporan audit ke atas 1MDB dan kumpulan syarikatnya sepatutnya boleh disiapkan dalam tempoh lima bulan, namun memakan masa hampir setahun kerana kesukaran mengakses maklumat.

Katanya, beliau juga mengarahkan laporan akhir audit 1MDB diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk mengelak kebocoran maklumat berlaku sekali lagi di peringkat urusetia Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC).

Saksi pendakwaan keenam itu berkata, Jabatan Audit Negara diarahkan untuk membuat pengauditan terhadap kumpulan syarikat 1MDB dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 4 Mac 2015 untuk menilai prestasi kewangan dan aktiviti syarikat serta menentusahkan penyata kewangannya.

“Bagaimanapun, pengauditan yang dijalankan oleh sepasukan 12 pegawai dari Jabatan Audit Negara sejak Mac 2015 mengambil masa kira-kira setahun disebabkan kesukaran mengakses maklumat yang diperlukan untuk audit.

“Jabatan Audit Negara mengambil masa yang lama kerana menghadapi limitasi dalam mendapatkan sebahagian dokumen asal dan penting, lewat diserahkan atau tidak diserahkan sama sekali oleh 1MDB bagi tujuan pengesahan transaksi dan sebagai bukti audit,” katanya.

Membacakan penyataan saksinya, beliau yang kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan di Jabatan Perdana Menteri berkata, dokumen-dokumen tersebut adalah penting untuk pengauditan bagi mengesahkan kedudukan sebenar kewangan dan operasi syarikat serta urus niaga yang berkaitan.

“Antara dokumen penting yang tidak pernah sampai dari 1MDB adalah akaun pengurusan kumpulan itu bagi tahun berakhir 31 Mac 2015 dan penyata bank daripada institusi kewangan luar negara.

“Tambahan lagi, tiada capaian dapat dibuat terhadap komputer, komputer riba dan pelayan komputer di 1MDB bagi mendapatkan data serta maklumat untuk tujuan rujuk silang dan analisis semasa pengauditan,” katanya.

Beliau yang memegang jawatan sebagai Ketua Audit Negara selama 12 tahun sejak 2006 turut menambah pihaknya kemudian menghantar surat rasmi kepada Arul Kanda selaku Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB bagi mengarahkan syarikat itu memberi kerjasama untuk membenarkan pasukan audit menyemak semua rekod dan dokumen termasuk data daripada sistem.

Mengenai isu kebocoran maklumat dan klasifikasi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, Ambrin berkata, beliau memutuskan klasifikasi tersebut untuk mengelakkan laporan 1MDB disensasikan secara pramatang.

“Ini berikutan pihak 1MDB telah mengemukakan satu surat berkenaan isu pembocoran maklumat laporan interim tersebut kepada saya pada 22 Oktober 2015,” katanya.

Najib, 66, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau didakwa atas kedudukannya sebagai pegawai awam iaitu perdana menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Arul Kanda, 43, pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Rabu depan. - Bernama