Mangsa denggi cemerlang UPSR

Muhammad Amsyar Aqeef (kanan) bersama rakan-rakannya yang turut meraikan keputusan cemerlang dalam UPSR yang diperoleh hari ini.
Muhammad Amsyar Aqeef (kanan) bersama rakan-rakannya yang turut meraikan keputusan cemerlang dalam UPSR yang diperoleh hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tekanan dialami kerana menjawab peperiksaan di hospital akibat dijangkiti demam denggi menjadi kenangan manis buat murid Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 (SKSS1) di sini kerana mendapat keputusan cemerlangn dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Muhammad Amsyar Aqeef Mohd Juzaili, 12, berkata, dia terpaksa menjawab empat kertas dalam kesakitan dan tekanan kerana ditahan selama seminggu di wad hospital.

"Memang mulanya saya rasa agak tertekan sebab perlu jawab peperiksaan di hospital namun perasaan itu boleh dikawal kerana ibu bapa dan guru menemani saya di wad hospital.

"Walaupun diasingkan untuk menjawab peperiksaan, saya dapat juga memberi fokus kerana persiapan untuk peperiksaan telah dilakukan sejak awal," katanya yang sebelum ini ditahan di wad Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) di sini.

Muhammad Amsyar Aqeef berkata, dia pulih daripada demam denggi selepas lapan hari menerima rawatan dan dapat menjawab peperiksaan bagi subjek Matematik dan Sains di sekolah.

Katanya, keputusan cemerlang yang diperoleh itu juga turut dibantu hasil belajar secara berkumpulan bersama tujuh rakan-rakannya.

"Saya sering mengikuti rakan-rakan untuk sama-sama membentuk kumpulan belajar dan telah membuat persiapan awal untuk menduduki UPSR sebab itulah ketika ditahan di wad, saya sudah bersedia untuk menduduki peperiksaan itu," katanya.

Muhammad Amsyar Aqeef merupakan seorang daripada 20 murid yang mendapat keputusan 6A dalam UPSR yang diumumkan di SKSS1 di sini semalam.

Artikel Berkaitan: