Scam: Imigresen tahan 680 warganegara China

Khairul Dzaimee (dua dari kanan) menunjukkan barang rampasan hasil serbuan itu pada sidang media di JIM Putrajaya di sini hari ini.
Khairul Dzaimee (dua dari kanan) menunjukkan barang rampasan hasil serbuan itu pada sidang media di JIM Putrajaya di sini hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) berjaya menumpaskan satu sindiket Scam atas talian melibatkan warganegara China dalam satu operasi di sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya pagi semalam.

Dalam serbuan jam 11 pagi itu, seramai 680 warga negara China termasuk 77 wanita masing-masing berusia antara 19 hingga 35 tahun ditahan.

Operasi dilakukan dengan kekuatan 150 pegawai penguat kuasa dan turut merampas 8,230 telefon bimbit, 174 komputer riba dan 787 komputer peribadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua mereka dipercayai menjalankan aktiviti penipuan pelaburan yang berpusat di China.

Katanya, sindiket mensasarkan mangsa dari negara terbabit dengan tawaran keuntungan lumayan segera.

Menurutnya, premis bangunan berkenaan disewa sekitar RM360,000 sebulan disyaki beroperasi sejak enam bulan lalu dan dipercayai berfungsi sebagai pusat panggilan.

"Semasa serbuan, berlaku provokasi oleh operator-operator sindiket dan ada di antara mereka bertindak merempuh serta menyerang anggota.

"Dianggarkan kira-kira 100 lagi suspek berjaya melarikan diri dengan merempuh kepungan pegawai imigresen.

Artikel Berkaitan:

"Ada juga pegawai dan suspek yang ditahan mengalami luka ringan namun keadaan terkawal dengan bantuan JIM Selangor dan Wilayah Persekutuan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Seramai 680 suspek warga China ditahan dan direman selama 14 hari.
Seramai 680 suspek warga China ditahan dan direman selama 14 hari.

Khairul Dzaimee berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek tinggal di negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial (PLS) selan masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas sah serta tinggal lebih masa.

"Hampir kesemua suspek ditahan tidak dapat mengemukakan pasport. Pihak Kedutaan China di Malaysia telah dimaklumkan mengenai perkara ini.

"Barang rampasa akan disita mengikut peruntukkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA)," katanya.

Beliau berkata, JIM akan menjejaki individu yang mendalangi sindiket ini melalui kerjasama agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkuasa tempatan.

"Satu kod dihantar kepada pelanggan (mangsa) menggunakan bahasa China. Urus niaga dan pembayaran dilakukan melalui Wechat Pay atau bank di China.

"Risikan dilakukan JIM sejak hampir dua bulan lalu hasil aduan awam.

"Premis bangunan mempunyai pengawal keselamatan dan sistem keselamatan ketat di setiap tingkat selain rangkaian kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, kemua suspek direman selama 14 hari dan JIM akan terus mengesan saki-baki sindiket.