[VIDEO] ‘Ijazah ini untukmu, ibu’

Muhammad Fahim berkongsi kegembiraan bersama ayahnya, Shamsudin dan abang, Muhamad Farhan sambil menunjukkan gambar arwah ibunya.
Muhammad Fahim berkongsi kegembiraan bersama ayahnya, Shamsudin dan abang, Muhamad Farhan sambil menunjukkan gambar arwah ibunya.
A
A
A

KUALA NERUS - Tangisan Muhammad Fahim Shamsudin, 23, tatkala menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim) daripada Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar sudah cukup menggambarkan perasaan hibanya.

Dia yang sepatutnya menerima skrol berkenaan pada pagi Ahad lalu pada Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-17, bagaimanapun terpaksa melupakannya setelah ibu tersayang, Rahayu Abu, 50, meninggal dunia pada jam 12.20 tengah malam di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hanya beberapa jam sebelum majlis konvokesyennya.

Muhammad Fahim kemudiannya mengambil keputusan untuk menguruskan jenazah ibunya sebelum dibawa balik ke Kampung Bohor Baru, Bera, Pahang, sekali gus melupakan hari bersejarahnya.

“Saya fikir, mungkin saya tak akan datang lagi ke UMT untuk terima ijazah. Kawan saya datang ke hospital bagi saya pakai jubah dan ambil gambar kenangan dengan ayah saya. Saya ingat, mungkin inilah gambar terakhir saya untuk kenangan.

“Saya terpaksa senyum juga walaupun saya memakai jubah ini di hadapan hospital sementara urusan jenazah. Saya berterima kasih kepada pihak UMT yang membantu dari awal, seterusnya menyediakan majlis yang begitu bermakna buat saya.

“Pihak universiti begitu prihatin terhadap saya sekeluarga dan sudah tentu saya tidak akan melupakan majlis ini yang cukup bermakna buat saya sekeluarga,” katanya pada Majlis Khas Penyampaian Skrol Ijazah kepadanya yang diadakan di UMT.

Majlis penyerahan itu menjadi lebih bermakna apabila turut dihadiri oleh semua pegawai utama universiti, termasuk Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan Informatik (FTKKI), Prof Mohd Zamri Ibrahim.

Bapanya, Shamsudin Md Amin, 58, dan abangnya, Muhamad Farhan, 26, turut serta bersama-sama menyaksikan dan meraikan Muhammad Fahim pada majlis itu.

Artikel Berkaitan:

Dia yang kini bekerja di Energy Plattform Sdn Bhd sebagai pembantu operasi bermula September berkata, walaupun ibunya tidak sempat melihatnya menggenggam ijazah, namun dia bersyukur kerana ibunya sempat menikmati gaji pertamanya.

Sementara itu, Nor Aieni berkata, pihak pengurusan universiti memutuskan untuk mengadakan majlis khas penyampaian skrol ijazah kepada Muhammad Fahim bagi meraikan kejayaannya dalam graduasi.

“Ketabahannya dalam menimbang antara rasa gembira dan sedih menjadi teladan kepada semua, terutamanya generasi muda. Dia merupakan anak muda yang memiliki ciri-ciri kepimpinan yang ada sifat kelembutan hati dan kesabaran,” katanya.

Pada majlis itu, sebuah kerusi roda turut disumbangkan oleh Pusat Alumni UMT kepada bapanya yang juga seorang kurang upaya, yang kehilangan tangan dan kaki kerana kemalangan kejutan elektrik kira-kira 23 tahun lalu.