Senat AS lulus undang-undang lindungi penunjuk perasaan Hong Kong

Polis menahan penunjuk perasaan yang cuba melarikan diri dari kampus Universiti Politeknik Hong Kong (PolyU) di daerah Hung Hom semalam. - Foto: AFP
A
A

WASHINGTON - Senat Amerika Syarikat (AS) sebulat suara meluluskan rang undang-undang menyokong hak asasi dan demokrasi di Hong Kong dan mengancam untuk membatalkan status ekonomi khas hab kewangan Asia itu.

Turut diluluskan langkah yang akan menghalang penjualan gas pemedih mata, peluru getah dan peralatan lain yang digunakan pasukan keselamatan bagi mengekang penunjuk perasaan prodemokrasi di Hong Kong selama hampir enam bulan.

Hal tersebut menimbulkan kemarahan China yang berkata pihaknya akan melaksanakan tindak balas tegas bagi mempertahankan kedaulatan negara, keselamatan dan kepentingan pembangunan sekiranya AS berterusan membuat 'keputusan salah'.

Jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang berkata, tujuan AS adalah untuk menyokong ekstremis dan elemen keganasan terhadap China yang akan menghuru-harakan Hong Kong sekali gus merealisasikan plot jahat menghalang kemajuan China dengan mengambil kesempatan terhadap isu Hong Kong.

Akta Hak Asasi dan Demokrasi Hong Kong menetapkan Presiden AS perlu mengkaji semula status dagangan yang diberikan Washington kepada Hong Kong.

Ia juga boleh mengenakan sekatan terhadap pegawai berkuasa Hong Kong dan China yang melakukan pelanggaran hak asasi manusia.

Senat AS menghantar mesej jelas kepada rakyat Hong Kong yang berjuang untuk kebebasan mereka.

"Kami akan terus bersama anda dan tidak akan berdiam diri apabila Beijing melemahkan autonomi anda," kata Senator Republikan, Marco Rubio.

Dewan Rakyat dan Senat kini akan membawa rang undang-undang terbabit kepada Kongres sebelum mendapatkan tanda tangan Presiden Donald Trump.

Protes prodemokrasi tercetus Jun lalu dengan jutaan penduduk Hong Kong membantah undang-undang ekstradisi dari Hong Kong ke Tanah Besar China, ia kemudian bertukar menjadi protes ganas yang menjadikan Hong Kong seakan medan pertempuran. - AFP