Protes di Paris: Polis, penunjuk perasaan bertempur

Penunjuk perasaan dan pihak polis bertempur di Paris. - Foto AFP
Penunjuk perasaan dan pihak polis bertempur di Paris. - Foto AFP
A
A
A

ANKARA - Bantahan di Perancis selepas polis menembak mati seorang remaja awal minggu ini, memasuki malam kelima berturut-turut dengan pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis, serta dakwaan penglibatan kumpulan sayap kanan.

Rakaman di media sosial memaparkan penunjuk perasaan membakar pelbagai kawasan di seluruh Paris, lapor Agensi Anadolu.

Penunjuk perasaan turut menyerang polis menggunakan bunga api sambil membakar penghadang di kawasan kejiranan popular Barbes.

Polis melakukan rondaan di sekitar kawasan tumpuan pelancong Champs-Elysees Avenue tetapi pertempuran antara penguatkuasa undang-undang dan penunjuk perasaan meletus di jalan-jalan sempit ketika mereka cuba menghalang rompakan dan vandalisme.

Perdana Menteri Perancis, Elisabeth Borne tiba di pusat krisis di Paris yang beroperasi di bawah Kementerian Dalam Negeri.

"Saya datang ke sini untuk mengesahkan sokongan penuh saya dan kerajaan saya kepada mereka," menurut ciapan Borne di Twitter.

Bantahan di Perancis selepas polis menembak mati seorang remaja awal minggu ini. - Foto AFP
Bantahan di Perancis selepas polis menembak mati seorang remaja awal minggu ini. - Foto AFP

"Malam ini, 45,000 pegawai polis, bersama ribuan anggota bomba, dikerah untuk melindungi dan menegakkan ketenteraman awam."

Video dalam talian menunjukkan situasi huru-hara tercetus di pelbagai bandar termasuk Paris, Marseille, Lyon, Strasbourg dan Nice.

Penyiar Perancis BFMTV melaporkan bahawa datuk bandar di beberapa kawasan meminta lebih banyak bantuan daripada kerajaan untuk memulihkan keadaan.

Dakwaan bahawa kumpulan sayap kanan memakai topeng bertindak menyerang penunjuk perasaan di Angers dan Chambery turut timbul.

Hampir 2,000 individu telah ditahan, manakala lebih 200 pegawai polis cedera. - Bernama-Anadolu