Pahang henti kerja baik pulih 1,200 unit PAKR Sungai Pandan

534374
534374
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan memberhentikan kerja baik pulih sebanyak 1,200 unit Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Pandan kerana kos terlalu tinggi dan tidak relevan untuk dibaik pulih.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Abd Rahim Muda berkata, keputusan itu buat berdasarkan laporan yang diterima dapat mendapati struktur bangunan itu tidak selamat dan perlu kajian lebih lanjut dilaksanakan.

Menurutnya, selain itu pihaknya turut mengambil kira faktor lain seperti seperti risiko kepada penghuni berdepan dengan banjir sekiranya kerja baik pulih terbabit diteruskan

"Kita tidak boleh mengambil risiko dengan meneruskan kerja baik pulih ini..Saya katakan ia berisiko kerana kawasan berkenaan tidak strategik kerana sudah lebih dua kali ditenggelami banjir... paling teruk ketika banjir tahun 2013 dan 2014.

"Walaupun kerajaan negeri ada menerima tawaran daripada dua syarikat yang berminat untuk melakukan kerja baik pulih, tetapi kita masih memikirkan kesannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Tarmizi Yahaya (Pas- Panching) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.

Mohd Tarmizi dalam soalannya meminta kerajaan Pahang memaklumkan status baki rumah terbiar di PAKR Sungai Pandan yang sudah berusia kira-kira 20 tahun.

Dalam persidangan itu, Abd Rahim bagaimanapun pun berkata, kerajaan Pahang akan membuat penilaian semula terhadap kesesuaian projek itu sekiranya berlaku perubahan keputusan untuk membangunkan semula kawasan PARK terbabit.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, walaupun tindakan itu merugikan, namun tidak bermakna kerajaan Pahang mengabaikan keperluan golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri.

"Kita akan cari jalan lebih sesuai jika ingin meneruskan projek di tapak PARK pada masa akan datang.

"Jadi kita akan tawarkan kepada mana-mana syarikat bagi tujuan pemulihan ini setelah penilaian dibuat," katanya.

Selain itu Abd Rahim memaklumkan tugas menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat adalah tanggung jawab kerajaan Persekutuan.

Katanya, namun begitu kerajaan Pahang hanya menjadi pemudah cara dengan menyediakan tapak bersesuaian.

"Kita tidak mempunyai dana bagi membina banyak projek seperti PAKR Sungai Pandan namun kerajaan Pahang sentiasa berusaha dengan menawarkan projek Rumah Makmur dan Perumahan Rakyat 1Malaysia Pahang.

"Walaupun ia (menyediakan rumah mampu milik) tanggung jawab kerajaan Persekutuan, ini tidak bermakna kerajaan negeri tidak membantu rakyat Pahang memiliki kediaman sendiri...jadi kita sentiasa bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam hal ini dan berharap lebih banyak projek (rumah mampu milik) dapat dibina di Pahang," katanya.