Lori bawa minyak masak 'kantoi' tujuh kesalahan, terus kena sita

KUANTAN - Sebuah lori membawa muatan minyak masak disita selepas dikesan melakukan tujuh kesalahan termasuk menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain pada Khamis.
Unit Korporat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang memaklumkan, lori berkenaan ditahan ketika operasi harian dijalankan di Stesen Penguatkuasa (SPK) Sanggang, Temerloh.

Hasil pemeriksaan mendapati pemandu lori berusia 36 tahun itu tidak memiliki Lesen Memandu Vokasional (GDL) Kelas E.
Selain itu, lori terbabit didapati tidak mempunyai perlindungan insurans, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan pemeriksaan berkala Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tamat tempoh.
"Lebih mengejutkan, lori yang digunakan untuk menghantar muatan minyak masak dari Kuantan ke Triang, Bera itu didapati mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain.
"Pemandu lori juga gagal mengemukakan permit. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan perdagangan tersebut membawa lebih muatan," katanya.

Susulan itu, pemandu terbabit telah dikeluarkan saman atas semua kesalahan dikesan manakala kenderaan berkenaan disita dan ditempatkan di Depoh SPK Sanggang untuk tindakan lanjut.
"JPJ Negeri Pahang tegaskan, pemilik dan pengendali kenderaan perdagangan bertanggungjawab memastikan kenderaan serta pemandu mematuhi semua peruntukan undang-undang bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

