Kerajaan Perak masih kukuh: Exco Perak

Asmuni mengetuai sidang media bersama Exco dan wakil rakyat PH menyokong kepimpinan Ahmad Faizal.
Asmuni mengetuai sidang media bersama Exco dan wakil rakyat PH menyokong kepimpinan Ahmad Faizal.
A
A
A

IPOH - Semua Exco kerajaan Perak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan bahawa kerajaan Perak kini masih kukuh.

Exco Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, sejak akhir-akhir ini terlalu banyak khabar angin dan fitnah yang dilemparkan kepada pihak kerajaan negeri dan cubaan untuk mengganggu gugat kestabilan pentadbiran kerajaan di bawah PH.

Menurutnya, walaupun diperjelas beberapa kali sebelum ini, namun usaha-usaha untuk mencipta dan merekayasa persepsi jahat kepada keutuhan kerajaan masih terus berlaku.

"Kebersamaan kami pada hari ini adalah bagi menzahirkan sokongan penuh yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak.

"Kami juga ingin memberi jaminan bahawa Kerajaan Perak sekarang ini masih kukuh dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk terus mentadbir negeri ini," katanya pada sidang media bersama-sama Exco kerajaan Perak serta ADUN PH di Bilik Sidang Media DUN Perak di sini hari ini.

Asmuni berkata, sidang media bersama semua wakil rakyat PH dibuat rentetan pelbagai isu berkaitan ketidakstabilan kerajaan negeri ditimbulkan pelbagai pihak.

Sehubungan itu beliau meminta rakyat di negeri ini mengabaikan segala tohmahan dan fitnah daripada pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, kepercayaan harus diberikan kepada kerajaan negeri untuk menggalas amanah melaksanakan tugas dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan Perak berjanji akan terus menjunjung mandat diberikan rakyat Perak untuk memajukan negeri seterusnya membawa kemakmuran bersama yang diusahakan kerajaan.